KUCHING: Seorang cedera parah manakala dua lagi cedera ringan apabila sebuah Proton Wira dan Perodua Kancil bertembung di MJC Batu Kawa malam tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Bomba Negeri memberitahu, pihaknya menerima panggilan sekitar jam 8.53 malam dan sebuah jentera serta sebuah ambulans EMRS dengan kekuatan sembilan anggota dikejarkan ke lokasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Lintang.“Pasukan tiba di lokasi 10 minit kemudian dan mendapati kesemua mangsa telah dapat dikeluarkan oleh orang awam.

“Dua daripada mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak oleh ambulans Angkatan Pertahanan Awam manakala seorang lagi menggunakan ambulans EMRS.

Pihak bomba katanya, kemudian membuat kerja-kerja pembersihan.

Sementara itu di Kapit, seorang lelaki yang berasal dari Sabah, bertarung dengan maut apabila kenderaan yang dinaikinya jatuh ke dalam gaung yang curamnya 90 darjah.

“Kejadian berlaku di Kilometer 19, Jalan Kem Nanga Mujong.

Pihak bomba menerima panggilan sekitar jam 8.18 malam dan sebuah pacuan empat roda serta ambulans EMRS dikejarkan ke lokasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kapit dengan kekuatan tujuh anggota.

“Tiba lebih setengah jam kemudian kerana terpaksa melalui jalan balak di laluan Sungai Balleh, pasukan mendapati kenderaan malang terbabit telah jatuh sejauh 30 meter.

Proses menyelamat kemudiannya dilakukan dengan membawa ‘stretcher’ menuruni gaung sebelum membuat sistem hauling untuk menaikkan mangsa ke tempat yang selamat.

“Mangsa berjaya dibawa naik dan tindakan awal menstabilkan mangsa dilakukan unit EMRS, termasuk memasang cervical collar dan external lashing.

“Mangsa yang cedera parah di kepala dikejarkan ke Hospital Kapit dan keadaannya dilaporkan stabil,” katanya lagi. – Sarawakvoice