Saturday, December 3, 2022

Calon presiden FAM: Tan Sri Annuar tarik diri

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Umno Tan Sri Annuar Musa  sebentar tadi mengumumkan penarikan diri menjadi calon Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Sabtu ini, sekali gus memberi kemenangan kepada Tengku Mahkota Johor, Tunku ismail Sultan Ibrahim.

Ahli Parlimen Ketereh itu berkata langkah itu membolehkan Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim dilantik sebagai presiden FAM secara automatik, sekali gus sebagai penghormatan kepada TMJ menerajui badan induk sukan utama negara itu.

“Setelah berfikir dengan mendalam. Saya membuat ketetapan untuk beri penghormatan untuk calon satu lagi, agar diberikan kemenangan tanpa bertanding dan diisytiharkan sebagai presiden FAM.

“FAM perlu ada barisan EXCO berwibawa, selain dikendalikan dalam suasana harmoni, serta mendapat sokongan semua pihak, tanpa wujud perpecahan di peringkat pengurusan,” katanya pada sidang media di Dewan Rakyat, hari ini.

“Walaupun ada pertandingan, saya harapkan ia dalam suasana harmoni dan semangat penuh kesukanan. Ia hanyalah kepimpinan dalam badan sukan saja.

Langkah diambil Annuar bagi segelintir pemerhati bukan mengejutkan, tetapi mereka tertanya-tanya mengapa beliau melakukannya pada saat-saat akhir.

“Saya minta maaf, keputusan ini saya tidak bincangkan walaupun dengan isteri saya. Sebaliknya biarlah ia keputusan saya sendiri, setelah saya lakukan istikharah,” katanya.

Dua lagi calon yang dinamakan sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin dan bekas ketua setiausaha Kementerian Dalam Negeri Tan Sri Aseh Che Mat, tidak mengesahkan pencalonan mereka sehingga tempoh pencalonan.

Annuar berkata keputusan menarik diri dibuat selepas melihat beberapa isu yang timbul antaranya tuduhan yang mengaitkan Kementerian Belia dan Sukan, dan dilakukan tanpa tekanan daripada mana-mana pihak.

Katanya, selepas berfikir panjang dan mendalam, beliau mengambil keputusan, dan berharap langkah diambilnya itu dapat membantu FAM menyusun persediaan supaya TMJ diumum menang tanpa bertanding.

“Justeru hari ini saya kotakan janji, dengan memberi penghormatan kepada TMJ,” jelasnya.

Annuar menyatakan beliau telah menghantar mesej teks kepada TMJ memaklumkan mengenai keputusannya itu pada hari ini, namun masih belum mendapat respons. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru