KUALA LUMPUR: Pelaburan Saudi Aramco bernilai US$7 bilion dalam projek Pembangunan Bersepadu Penapisan dan Petrokimia Petronas (RAPID) di Pengerang, Johor, menjadi bukti utama Malaysia bukan hampir muflis.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, adalah mustahil bagi syarikat minyak milik negara Arab Saudi sedia untuk berbuat demikian dalam jumlah pelaburan yang besar di negara yang akan muflis.

“Saya membangkitkan persoalan ini kerana, seperti yang anda tahu, terdapat banyak berita palsu sejak kebelakangan ini. Malangnya, pembangkang kerajaan di Malaysia sering memilih untuk tidak berinteraksi dengan kami berhubung fakta.

“Mereka mencipta propaganda palsu – seperti idea bahawa negara ini hampir bankrap – yang sedihnya ada yang mendapat perhatian di peringkat antarabangsa,” kata beliau dalam ucaptama pada Forum Transformasi Global 2017 di sini hari ini.

Beliau berkata tindakan itu merupakan sabotaj ekonomi untuk kepentingan diri sendiri, kepentingan politik peribadi yang akan memberi kesan kepada semua rakyat Malaysia.

“Perjanjian Aramco itu hampir gagal dengan berita palsu berkenaan. Lagipun, ramai tidak menjangka bekas pemimpin akan berbohong mengenai negara sendiri.

“Oleh itu, apabila beliau memberitahu rakyat bahawa Malaysia sedang berdepan dengan kebankrapan, sesetengah percayakannya. Malah, beliau tahu beliau berbohong,” kata Najib, yang juga Menteri Kewangan.

Beliau berkata kebenarannya ialah di sebaliknya, dengan berjuta-juta pekerjaan diwujudkan, pertumbuhan yang kukuh dan konsisten, serta, inflasi dan pengangguran yang rendah, selain pengurangan dalam defisit fiskal kepada 3.1 peratus tahun lepas daripada 6.7 peratus pada 2009.

“PIC (Kompleks Bersepadu Pengerang Petronas) sangat penting kepada kita, dan US$7 bilion (pelaburan) itu menunjukkan keyakinan syarikat minyak milik negara Arab Saudi itu terhadap Malaysia.

“Ia akan menjadi jentera utama pertumbuhan di salah satu daripada laluan perkapalan paling sibuk di dunia, dan di pintu masuk ke Asia Pasifik, rantau yang paling berkembang maju di dunia dengan lebih 60 peratus daripada penduduk dunia,” kata beliau.

Pelaburan ini juga akan menyediakan latihan dan peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan, membawa kepada pembangunan industri tambahan, menggalakkan keusahawanan dan menjadi rangsangan besar kepada modal insan dan ekonomi pengetahuan, kata Najib.

Najib berkata pelbagai langkah juga telah diadakan untuk memastikan transformasi berterusan kepada ekonomi berasaskan pengetahuan, inovatif, dengan kemampanan dan keterangkuman menjadi terasnya.

“Kita sedang berusaha untuk sebuah negara memudahkan dengan yang lain, dan bangga dengan keunikan dan kepelbagaian yang cergas, kerana saya bukan sahaja mengambil berat tentang keluaran dalam negara kasar (KDNK), tetapi juga kebahagiaan ramai dan kesejahteraan setiap rakyat Malaysia.

“Pelaburan berterusan dalam modal insan dan kesalinghubungan serta pembaharuan dan transformasi ekonomi, telah menunjukkan hasilnya.

“Antaranya, orang luar melihat Malaysia, dan mereka melihat tempat mereka ingin menjalankan perniagaan – dan ia semakin meningkat,” katanya.

Najib berkata perkara ini telah terbukti dengan nilai pelaburan asing yang naik kepada RM59 bilion tahun lepas berbanding RM36 bilion pada 2015.

“Ini membawa kepada perkongsian yang baik dan semakin berkembang. Lihat sahaja Osram, peneraju global dalam pembuatan lampu. Syarikat itu telah melabur RM3 bilion di Malaysia.

“Ia kini membuat pelaburan tambahan sebanyak RM1.4 bilion untuk projek pembesaran yang akan menjadi tapak pengeluaran cip LED enam inci terkini dan terbesar di dunia. 

“Adakah mereka akan melakukannya jika, seperti sebahagian daripada ahli-ahli politik pembangkang mendakwa, Malaysia sebuah negara yang gagal?” soal Perdana Menteri.

Bagaimanapun, Najib berkata masih terdapat beberapa risiko dan cabaran, seperti menguruskan hutang isi rumah, keperluan untuk menambah baik produktiviti dan meningkatkan rantaian nilai, serta masalah simpanan isi rumah yang tidak mencukupi untuk menampung keperluan hayat rakyat.

“Namun, kita akan menanganinya dengan langkah yang sesuai kerana kita mengetahui risiko dan cabaran tersebut.

“Pemerhati neutral melihat apa yang kita lakukan, apa yang kita terus laksanakan dan komitmen kita untuk pembaharuan, dan mereka melihat hasil  program transformasi kita, setakat ini,” kata beliau.

Najib berkata agensi penarafan utama serta Dana Kewangan Antarabangsa,  terus memberi komen positif kepada kemajuan ekonomi negara.

“Dan baru bulan ini, BAV Consulting dan Wharton School of the University of Pennsylvania, mengeluarkan Laporan Negara-negara Terbaik 2017.

“Ia menyatakan Malaysia adalah negara terbaik di dunia untuk melabur. Dan, dalam kategori ini, kita, dan saya petik: ‘peneraju yang jelas’.

“Ini adalah cerita sebenar, fakta-fakta sebenar dan berita sebenar tentang cerita transformasi Malaysia,” kata beliau. Bernama