KUALA LUMPUR: Pembangkang diminta berhenti daripada mengeluarkan fakta mengelirukan mengenai kerjasama strategik antara Saudi Aramco dengan Petronas dalam projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (Rapid) di Johor.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, kenyataan tersebut bukan hanya tidak tepat malah boleh menyebabkan pelabur luar memandang rendah kepada negara ini.
“Sebab itu saya katakan, baca, jangan kutip cerita-cerita di tepi jalan…saya mahu beritahu pembangkang ini, baca (maklumat mengenai projek itu) dalam website Petronas dan buat research, supaya tidak akan keluar statement sebegitu.
“Your fakta semua berterabur. Inilah yang membimbangkan kita kalau kenyataan seperti ini keluar dari pembangkang, ia akan menyebabkan pelabur luar negara kata kita (Malaysia) ini ‘pariah’,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Dr Ko Chung Sen (DAP-Kampar) pada sesi jawab lisan persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Terdahulu, menjawab soalan asal Ko yang ingin tahu status pembinaan dan anggaran kos projek itu, beliau berkata sehingga kini keseluruhan projek PIC merangkumi projek Rapid telah siap 60 peratus dan dijangka siap dan mula beroperasi pada 2019.
Dalam pada itu, Abdul Rahman menjelaskan keputusan Saudi Aramco melabur dalam projek Rapid di Pengerang adalah satu pengiktirafan kepada usaha dibuat Petronas dan juga hubungan baik kedua-dua negara.
“Saya percaya, banyak lagi kelebihan ekonomi yang boleh dikongsi warga Malaysia dengan negara Arab Saudi untuk manfaat kedua-dua buah negara pada masa hadapan.
“Di samping itu, ia adalah penanda aras kepada keyakinan pelabur luar terhadap ekonomi negara dan juga terhadap kepakaran dan kebolehan insan anak tempatan kita,” katanya. – Bernama