Semua petugas berperanan bantu terang fungsi SPR kepada rakyat — Pengerusi

LUNDU: Semua pihak yang terlibat dalam proses pilihan raya perlu membantu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam menerangkan bagaimana proses itu berlaku.

Menurut Pengerusinya, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah, ketika ini begitu banyak pihak berminat kepada SPR , termasuk melemparkan tohmahan dan tuduhan yang tidak sepatutnya.

“Harus diingat kita tidak memihak kepada sesiapa pun kerana kita bergerak di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong,” katanya ketika berucap pada majlis penghargaan Petugas PRK Dun Tanjong Datu semalam.

Katanya, menjadi tanggungjawab semua untuk menerangkan kepada umum tentang apa yang berlaku pada hari mengundi dan apa yang berlaku pada peti undi.

Beliau mengulas pelbagai tohmahan terhadap SPR sebelum ini, termasuk penggunaan jari palsu dalam proses mengundi, kononnya akan dilaksanakan pada pilihan raya umum akan datang.

“Penerangan tentang fungsi SPR penting agar rakyat seluruhnya memahami, bukannya melontarkan ungkapan negatif melalui laman sosial,” tambahnya.

Hashim turut meminta pihak media memainkan peranan ini, sebagaimana dokongan yang diberikan ke arah menjadikan Pilihan Raya Negeri Sarawak dan Pilihan Raya Kecil Dun N3 Tanjong Datu sebagai antara yang terbaik dalam sejarah.

Sejumlah 68 peratus pengundi menunaikan tanggungjawab mereka pada PRK tersebut, berbanding 75 peratus mengikut sasaran awal. – Sarawakvoice