PRN Sabah: SPR siap sedia tapi “anak bulan” belum nampak – SPR

LUNDU: Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah hari ini memberitahu bahawa pihaknya akan sentiasa bersiap untuk menghadapi apa jua bentuk pilihan raya di negara ini dan pada bila-bila masa.

Menurutnya, latihan dan simulasi untuk petugas SPR akan sentiasa diadakan sepanjang masa.

“Justeru tidak akan timbul masalah sekiranya ada antara negeri di negara ini berhasrat mengadakan pilihan raya negeri lebih awal,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Penghargaan Petugas Pilihan Raya Kecil Dun Tanjung Datu di sini tengah hari tadi.

Beliau merujuk kepada Pilihan Raya Negeri Sabah, yang diuar-uarkan akan dilaksanakan pada April depan.

“Dari aspek persiapan, memang menjadi tanggungjawab SPR untuk menjalankan pilihan raya.

“Bererti sepanjang masa kita telah membuat persiapan.

“Dari segi lojistiknya kita dah bersedia. Jadi apabila berlaku apa sahaja pilihan raya, seperti baru-baru ini apabila berlaku kematian … dalam tempoh terdekat kita boleh mengadakan pilihan raya memandangkan persiapan awal telah pun diadakan,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, tidak akan timbul masalah untuk mengadakan persiapan kerana ini bukan pengalaman pertama SPR mengadakan pilihan raya.

“Kursus-kursus dan simulasi kini diadakan sepanjang masa termasuk di Sabah dan Sarawak, tanpa menunggu waktu pilihan raya tiba.

“Begitu juga dengan proses pendaftaran pemilih. Kita tidak menunggu hingga hampir pilihan raya. Kita ada sepanjang masa.

“Kita malah memasuki kawasan pedalaman dan luar bandar dengan van, selain menjalinkan kerjasama dengan Air Asia,” jelasnya.

Ditanya tentang persiapan untuk pilihan raya di Sabah, Hashim menjawab: “Tak boleh nak bayang apa pun. Tak nampak anak bulan lagi,” tegasnya.

Pilihan Raya Kecil Tanjong Datu diadakan pada 14 Februari lalu, menyaksikan isteri mantan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Jamilah Anu menang kerusi berkenaan dengan saingan tiga penjuru.

Lebih 150 petugas menghadiri majlis tersebut, yang diadakan sempena mesyuarat pascapilihan raya PRK Tanjong Datu yang diadakan di Kuching pada pagi tadi. – Sarawakvoice