Wednesday, December 7, 2022

Penyamun kempunan larikan Myvi, hanya 200 meter dari pintu sempadan

Secara Rawak

BAU: Hanya 200 meter dari pintu sempadan Malaysia-Indonesia, kegembiraan seorang penyamun bertukar duka apabila kelibatnya dihidu sepasukan anggota ronda daripada Batalion ke-13 Askar Melayu Diraja (13 RAMD).

Ketika kejadian, suspek yang masih tidak dikenal pasti identitinya sedang memandu sebuah kenderaan Perodua Myvi berwarna perak melalui satu laluan tikus menuju ke sempadan Kalimantan Barat.

“Bagaimanapun sekitar jam 11.15 malam semalam, suspek dikejutkan dengan satu sekatan jalan oleh lapan anggota tentera lengkap bersenjata yang sedang melaksanakan Op Serkap.

“Ketika diarahkan berhenti oleh pasukan sekatan, suspek bertindak melarikan diri dengan memecut kenderaan dengan laju dalam laluan kelapa sawit yang juga laluan tikus tersebut,” kata jurucakap Markas 1 Divisyen ketika dihubungi hari ini.

Tindakan itu bagaimanapun memakan diri apabila kenderaan yang dipandu suspek terlekat dalam kawasan lumpur berhampiran.

“Menyedari keadaannya terperangkap, suspek bertindak meninggalkan kenderaan, dan melarikan diri dalam kepekatan malam.

Pasukan ronda tadi kemudian melakukan pemeriksaan terhadap kenderaan terbabit dan setelah melakukan semakan kepada Ibu Pejabat Polis (IPD) Bau, didapati kenderaan tersebut merupakan kenderaan yang dilaporkan hilang di Kota Samarahan pada semalam.

“Pasukan yang terlibat kemudian ¬†membuat laporan polis dan menyerahkan kenderaan yang dirampas tersebut kepada IPD Bau.

“Nilai rampasan dianggarkan bernilai RM30 ribu,” katanya lagi.

Ini merupakan kejadian curi kenderaan kedua yang berjaya dipatahkan oleh pasukan pengaman dalam tempoh dua hari di lokasi yang hampir sama.

Sebelum ini cubaan sekumpulan lelaki melarikan diri dengan sebuah kenderaan Perodua Myvi yang dicuri juga berjaya dipatahkan, tetapi oleh sepasukan anggota polis, yang kemudian berjaya memberkas seorang suspek, setelah bergelut di dalam anak sungai. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru