Lee ajak Cina teruskan toleransi, bantu promosikan pelancongan Miri

MIRI: Masyarakat Cina dinasihatkan tidak bersikap ekstrem dalam kehidupan mereka kerana sikap tersebut hanya membawa huru-hara dan dapat menjejaskan perpaduan kaum.

Sarawak merupakan negeri yang dihuni masyarakat pelbagai kaum, justeru sikap toleransi antara bangsa, budaya dan agama merupakan cara paling berkesan melindungi keharmonian kaum.

Justeru, Menteri Muda Pelancongan Datuk Lee Kim Shin menggesa masyarakat Cina bersama kaum lain menolak sebarang unsur ekstrem memasuki negeri ini.

Bercakap pada sambutan Tahun Baharu Cina dan Malam Pelantikan Persatuan Vui Neng Miri pada Sabtu, Lee mengajak persatuan Cina di Miri aktif membantu meningkatkan industri pelancongan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senadin itu berkata, kementerian mempromosikan agar ramai pelancong China mengunjungi Sarawak khususnya Miri dan tempat lain.

Untuk menjayakan usaha tersebut, Lee meminta agar masyarakat Cina bekerjasama dan saling menyokong menggalakkan pelancong dari China mengunjungi Sarawak khususnya ke Miri. – Sarawakvoice