MELAKA: Lagi 182 orang anggota DAP Melaka dikatakan bertindak keluar parti hari ini.

Namun, setiausaha DAP Melaka Khoo Poay Tiong, yang juga anggota dewan undangan negeri (ADUN) Ayer Keroh berkata perkara itu hanya diketahui beliau menerusi pihak media.   

“Saya dimaklumkan oleh wartawan bahawa terdapat sekumpulan anggota DAP mengadakan sidang media hari ini, dengan menyatakan mereka mahu meninggalkan parti.

“Dalam sidang media itu, mereka memaklumkan akan menghantar surat rasmi keluar parti itu kepada DAP pusat melalui perkhidmatan kurier,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Sidang media itu dibuat pada pukul 2.30 petang tadi oleh kumpulan anggota DAP berkenaan yang menjemput hanya akhbar berbahasa Cina.

Khoo berkata pihaknya belum menerima surat rasmi daripada anggota DAP berkenaan berhubung tindakan keluar parti.

Ditanya sebab mereka bertindak sedemikian, beliau berkata mungkin kerana tidak berpuas hati.

Beliau enggan menggulas lanjut. Pada 12 Feb lepas, ADUN Duyong Goh Leong San, ADUN Bachang Lim Jak Wong, ADUN Kesidang Chin Choon Seong dan Anggota Parlimen Kota Melaka Sim Tong Him mengumumkan keluar DAP. Bernama