Pelajar Jepun tengok buaya, Orang Utan di Sarawak

0
3

KUCHING: Melihat buaya dan Orang Utan diberi makan serta makan makanan Melayu di perkampungan Melayu merupakan antara acara menarik 12 orang pelajar Jepun ketika berada di sini selama lima hari mulai esok.

Pelajar Tokyo University of Foreign Studies, Tokyo itu mengikut program Kembara Ilmu Inap Desa.

Menurut penyelaras program, Faridah Mohamed yang bercakap kepada Sarawakvoice dari Tokyo sebentar tadi, tujuan program itu adalah untuk memperkenalkan kepada pelajar Jepun terbabit budaya Melayu, tatatertib dan kepercayaan serta amalan harian kehidupan masyarakat, serta mendedahkan mereka kepada penggunaan bahasa Melayu dan keindahannya.

Faridah merupakan tenaga pengajar dalam bidang pengajian bahasa Melayu di Universiti Pengajian Bahasa Asing Tokyo (TUFS), Universiti Waseda dan Universiti Takushoku, Jepun.

“Besarlah harapan dan kesyukuran saya agar mahasiswa dan mahasiswi ini dapat menimba dan menghayati keindahan nilai-nilai murni adat keluarga masyarakat Islam di Malaysia,” katanya.

Jadual pelajar di sini adalah ketat termasuk mengunjungi Taman Buaya Jong, melihat Orang Utan di Semenggok diberi makanan, melawat Kampung Budaya dan Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak.

Selain Sarawak, rombongan pelajar berkenaan turut mengunjungi Kedah dan Pahang. – Sarawakvoice