S’wak perhalusi model kewangan, bantu rakyat miliki rumah pertama

MIRI: Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata Sarawak memperhalusi model kewangannya sendiri membolehkan kalangan berpendapatan sederhana mampu membeli rumah di bawah projek dibiayai Kerajaan Negeri.

Bercakap melancarkan projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) Melia Residences di Parkcity Eastwood pada Sabtu, Abang Johari berkata sebelum ini apabila projek perumahan baharu diumumkan, peruntukan kewangan adalah dari kerajaan pusat

Abang Johari, yang juga Menteri Perumahan Negeri, berkata disebabkan kerenah birokrasi dan masalah kewangan di peringkat pusat, beberapa projek perumahan yang diumumkan sebelum ini ada yang ditangguhkan atau dibatalkan.

Hal ini membantut impian ramai pembeli  rumah kali pertama akibat situasi luar kawalan Kerajaan Negeri.

Buat masa ini, Sarawak memiliki program perumahan mampu miliknya sendiri Skim Perumahan Rakyat Khas (Spektra).

Program Spektra Lite adalah untuk mereka berpendapatan RM4,000 dan ke bawah.

Spektra Medium pula adalah bagi golongan berpendapatan RM5,000 dan ke bawah.

Harga rumah kategori Spektra Lite dan Spektra Medium ditetapkan antara RM100,000 hingga RM168,000.

Menurut Abang Johari setakat ini sebanyak sembilan projek membabitkan 5,000 unit rumah dilaksana seluruh negeri di bawah PPA1M.

Selain itu, Projek Perumahan Rakyat (PPR) untuk bukan kakitangan kerajaan, Rumah Mesra Rakyat (RMR) dan terbaharu Spektra Permata untuk golongan miskin tegar dibangunkan dengan kos RM50 juta menggunakan peruntukan negeri.

Projek PPA1M merupakan kejayaan hasil perbincangan Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Pusat sebelum ini bagi memastikan penjawat awam di sini dapat memiliki rumah dengan harga 30 peratus lebih murah berbanding harga pasaran.

Di Miri terdapat lebih 1,000 unit rumah dibangunkan di bawah PPA1M yang merupakan projek membantu penjawat awam berpendapatan rendah dan sederhana memiliki rumah di bawah harga pasaran. – Sarawakvoice