Tuesday, August 16, 2022

Skuad khas JSJ Sarawak jaring seorang anggota samun rantau, selepas bergelut dalam sungai di sempadan

Secara Rawak

KUCHING: Skuad khas siasatan jenayah negeri berjaya mencekup seorang lelaki awal pagi tadi, sekali gus memberi indikasi tentang sindiket “samun rantau” yang berleluasa di bandar raya ini sejak beberapa bulan lalu.

Ketua Siasatan Jenayah Negeri, Senior Asisten Komisioner Datuk Dev Kumar memberitahu, kejayaan itu diperoleh hasil usaha gigih dan kerja keras skuad khas tersebut yang melakukan risikan setiap malam sejak awal bulan ini untuk menjaring kumpulan tersebut.

“Suspek dan tiga rakannya sebelum itu sedang menyusup keluar selepas melakukan rompakan di Jalan Batu Kawa -Tondong, dekat sini.

“Dalam kejadian jam 3 pagi itu, empat perompak bertopeng bersenjatakan parang telah memecah masuk sebuah rumah teres dua tingkat dan mengikat mangsa, sepasang suami isteri yang sedang nyenyak tidur.

Setelah menyelongkar rumah tersebut kata Dev, suspek melarikan diri dengan mencuri kenderaan Perodua Myvi milik mangsa serta beberapa telefon pintar.

“Sekitar jam 4.30 pagi tadi, skuad khas yang diketuai Inspektor Kallang Buda sedang melakukan rondaan rutin di kawasan Raso, Lundu apabila mereka terserempak dengan sebuah Perodua Myvi hitam yang sedang menghampiri jalan ladang menuju ke sempadan Indonesia.

“Pihak kita telah mengejar mereka dan beberapa kilometer dari sempadan, kenderaan tersebut berhenti dan tiga lelaki dilihat keluar dari kenderaan tersebut.

Dalam keadaan malam pekat itu kata Dev, anggota yang terlibat berjaya memberkas seorang daripada suspek setelah berlaku pergelutan di dalam anak sungai.

“Dua lagi suspek berjaya melepaskan diri,” katanya lagi.

Jelas Dev, suspek lelaki yang ditangkap itu berusia 29 tahun dari Entikong, Indonesia dan siasatan awal mengesahkan kenderaan Perodua Myvi tersebut merupakan kenderaan yang dicuri daripada kes di Jalan Batu Kawa.

Polis turut menemui tiga bilah parang, kayu baton, dua komputer riba, satu tablet, lapan telefon bimbit, dua utas jam dan beberapa pasang sarung tangan, katanya.

“Ia merupakan kes rompakan keenam di kawasan Padawan pada tahun ini dan dipercayai dilakukan oleh suspek yang sama.

“Kita memberi tumpuan untuk mengenal pasti kedudukan dua lagi suspek, juga warga Indonesia yang berjaya melepaskan diri.

“Bagaimanapun kita percaya mereka kini telah berjaya menyeberang ke sempadan,” katanya lagi. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru