KUCHING: “Kita tidak akan kemukakan (senarai nama calon),” itu penegasan Ketua Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) Sarawak, Datuk Seri Fadillah Yusof pagi tadi ketika ditanya apakah pergerakan pimpinannya sudah membincangkan tentang senarai calon Pemuda BN untuk Pilihan Raya Umum (PRU) yang akan datang.

Katanya, pihaknya memahami bahawa dalam BN dan parti PBB khususnya, kepimpinan yang ada sekarang cukup matang, berpengalaman dan tahu untuk menilai.

“Mereka akan memberi ruang dan peluang kepada generasi muda untuk mewakili parti jika tiba saatnya,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) Peringkat Parlimen 194 Petra Jaya di Kompleks Akademi Kastam Diraja Malaysia di sini.

Lebih 2,000 penerima menerima bantuan mereka dalam majlis tersebut.

Kata Menteri Kerja Raya itu lagi, menjadi dasar Pemuda BN untuk sentiasa mengikut, menghormati dan mematuhi pregrogratif YAB Ketua Menteri yang kini diterajui Datuk Amar Abang Johari Tun Openg dalam soal pemilihan calon.

“Yang penting apa yang kita tanamkan, semaikan dalam jiwa setiap ahli Pemuda BN adalah kesediaan untuk berkhidmat.

“Memberi yang terbaik kepada rakyat dan bukan untuk menjadi ‘wakil rakyat’ tetapi berkhidmat,” tegasnya lagi.

Tetapi jika dipilih menjadi wakil rakyat, katanya itu adalah atas pregrogratif Ketua Menteri atau Presiden parti.

“Sebagai pimpinan Pemuda, jika diberi apa jua pun tanggungjawab, kita akan mengambil tanggungjawab itu secara sepenuhnya dan akan memberi khidmat terbaik. Itu dasar kita,”tegasnya.

Sementara itu, Fadillah menyokong penuh amaran dan “kata dua” yang diberikan oleh Abang Johari terhadap mana-mana wakil rakyat yang menjalankan perniagaan.

“Sememangnya perkara ini menjadi amalan kita sejak dahulu lagi, khususnya dalam PBB.

“Sejak zaman Tun Abdul Taib Mahmud, diikuti oleh Tan Sri Adenan Satem dan Datuk Amar Abang Jo, kita ditetapkan kepada dua pilihan, sama ada kita terlibat dalam politik, biarlah kita menjadi ahli politik yang memberi khidmat bakti kita kepada negeri, negara dan rakyat.

“Kalau hendak berniaga, kita hendaklah fokus kepada perniagaan, terutamanya kalau yang ada jawatan,” katanya lagi.

Jelasnya, mana-mana ahli parlimen biasa sebenarnya dibenarkan menjalankan perniagaan asalkan mereka tidak mempunyai jawatan dalam pentadbiran kerajaan.

“Itu memang amalan di mana-mana negara yang mengamalkan demokrasi tetapi jangan kita menggunakan kedudukan politik itu untuk kelebihan kita berniaga. Itu tidak boleh!” tegasnya lagi.

Pada masa yang sama kata Fadillah, kepimpinan Pemuda BN Sarawak turut menyokong penuh dan menghormati hak mutlak Ketua Menteri dan Perdana Menteri untuk menggugurkan mana-mana wakil rakyat yang gagal berprestasi.

“Mereka ada kaedah untuk menilai sama ada wakil rakyat tersebut telah menunaikan tugas dan tanggungjawab mereka.

“Sepatutnya memang sebegitu. Ia mesti berasaskan kepada prestasi; kalau kita berjaya melaksanakan tugas, kita akan menerima habuan!

“Kita (Pemuda BN) akan bersama-sama Ketua Menteri dalam hal ini,” katanya lagi.

Pilihan Raya Umum diramal akan diadakan seawal-awalnya sekitar September depan, dengan Sabah dikhabarkan akan melaksanakan pilihan raya negeri berasingan. – Sarawakvoice