Kerajaan sedia pertimbang rumah PPR bagi anggota polis, tentera

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan bersedia menimbang cadangan rumah Program Perumahan Rakyat (PPR) ditawarkan kepada anggota polis dan tentera termasuk yang masih dalam perkhidmatan.

Menteri berkenaan, Tan Sri Noh Omar mengakui golongan itu memerlukan rumah dan perkara tersebut boleh dibincangkan, sama seperti pewujudan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) untuk anak-anak polis dan tentera.

“Saya tidak menolak kerjasama sekiranya persatuan polis dan tentera membantu kementerian dari segi melontarkan cadangan berhubung tanah atau tapak projek yang mahu dibina,” katanya kepada pemberita di Puchong di sini hari ini.

Noh sebelum itu, merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan dan Sekolah Kebangsaan Puchong Perdana serta Pondok Pos Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS).

Semalam, Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa dilapor mencadangkan warga tentera dan polis ditawarkan rumah PPR ketika masih dalam perkhidmatan dan bukannya menunggu mereka hampir berpencen.

Annuar berkata cadangan itu akan dibawa ke peringkat Parlimen dalam masa terdekat.

Terdahulu, Noh melalui kementeriannya meluluskan peruntukan RM50,000, masing-masing RM20,000 bagi sumbangan PIBG kedua-dua sekolah berkenaan, manakala baki RM10,000 untuk pembinaan pondok PPS. Bernama