Kerajaan Negeri ikrar pastikan setiap rakyat ada tempat berlindung untuk keluarga – Abang Jo

MIRI: Kerajaan Negeri akan terus berjuang untuk memastikan seluruh rakyat di negeri ini memiliki rumah sendiri.

Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata, pihaknya sedar bahawa permintaan terhadap rumah kediaman di negeri ini adalah tinggi.

“Tetapi harga rumah juga kadang-kadang terlalu tinggi dan menyebabkan rakyat yang berpendapatan kurang RM10 ribu, malah kurang RM5 ribu agak payah untuk membeli rumah,” katanya ketika berucap melancarkan Projek Perumahan Penjawat Awam 1 Malaysia (PPA1M), di sini semalam.

Kerana itu katanya, Kementerian Perumahan dan Urbanisasi yang diterajuinya memperkenalkan beberapa dasar agar pelbagai lapisan rakyat di negeri ini “ada atap di atas kepala mereka”.

“Untuk golongan berpendapatan rendah misalnya, kita ada Projek Perumahan Rakyat, termasuk di Sungai Rait, Miri manakala untuk golongan miskin tegar, kita wujudkan program khas Spektra Permata untuk pastikan mereka ada tempat berlindung.

“Malah dua minggu selepas dilantik sebagai Ketua Menteri, saya luluskan RM50 juta untuk tujuan ini, kerana kita kerajaan yang prihatin akan kebajikan rakyat,” tegasnya lagi.

Projek Rumah Mesra Rakyat pula dibangunkan dengan beberapa reka bentuk termasuk berasaskan besi.

“Biarpun projek kerjasama Kerajaan Negeri dan Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB) ini meletakkan standard rumah tersebut mestilah di atas tanah, kita ubah dasar tersebut kerana keadaan geografi negeri ini yang kebanyakannya tanah gambut,” tegasnya.

Usaha ini, katanya adalah untuk rakyat dan memastikan mereka mampu memiliki rumah sendiri.

“Kita juga sedang merancang model kewangan yang membolehkan golongan menengah mampu memiliki rumah memandangkan mereka tidak layak untuk kategori bantuan, ketika harga di pasaran mencanak.

“Pada masa yang sama, kita juga akan terus mencari dasar-dasar dan pendekatan baharu untuk memastikan setiap rakyat ada rumah untuk keluarga mereka,” tegasnya lagi.

Sebanyak sembilan projek PPA1M telah lulus untuk dibangunkan di seluruh Sarawak, yang melibatkan 5 ribu unit.

Daripada jumlah ini, satu projek dibangunkan di Miri yang membabitkan
lebih 1,000 unit.

Abang Johari yang juga Menteri Perumahan dan Urbanisasi berkata, kelulusan projek ini daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak membolehkan para penjawat awam di negeri ini menikmati harga kediaman 30 peratus di bawah harga pasaran.

Sehingga semalam, projek yang dibangunkan oleh Samling Group ini cukup laris hingga lebih 500 unit telah terjual.

Turut hadir Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Mohd Morshidi Ghani. – Sarawakvoice