Jeffrey Kitingan dihalang masuk Sarawak petang semalam

KOTA KINABALU: Ahli politik veteran Sabah Datuk Dr Jeffrey Kitingan menjadi individu politik terkini yang diharam memasuki Sarawak, lapor The Star Online hari ini.

Dr Jeffrey, Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Bingkor dan Presiden parti STAR Sabah telah ditahan oleh pegawai imigresen sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dari Kota Kinabalu pada jam 6 petang semalam.

“Saya masih di pejabat imigresen lapangan terbang.

“Saya difahamkan ia adalah atas arahan Kerajaan Negeri dan mula berkuat kuasa pada Februari lalu,” katanya.

Dr Jeffrey dijadual meninggalkan Kuching menerusi penerbangan pada jam 8.30 malam tadi.

Beliau berada di Kuching untuk mempengerusikan mesyuarat bersama-sama pemimpin Dayak dari Kalimantan dan Sabah.

Pada tahun lalu, Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Tan Sri Adenan Satem telah mengharamkan beberapa tokoh politik Semenanjung termasuk pemimpin DAP, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dan Ketua UMNO Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos. – Sarawakvoice