Berhenti jadi wakil rakyat jika ceburi bidang perniagaan – Abang Jo

KOTA SAMARAHAN: Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg hari ini menegaskan wakil-wakil rakyat Barisan Nasional (BN) di negeri Sarawak perlu memilih di antara dua; perniagaan atau kerjaya politik.

“Kalau hendak berkhidmat kepada rakyat, berikan tumpuan berkhidmat kepada rakyat.

“Jangan jadi wakil rakyat kerana hendak mencari dagang.

“Kalau hendak jadi usahawan, berhenti jadi wakil rakyat. Tumpukan kepada menjadi usahawan,” katanya ketika majlis dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dekat sini pagi tadi.

Majlis tersebut yang turut dihadiri anggota kabinet dan Ahli Dewan Undangan Negeri Sarawak, dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Lebih 1,600 peserta hadir pada majlis terbuka yang terdiri daripada pemimpin belia, pemimpin pelajar dan wakil pelbagai pertubuhan.

Menurutnya, apabila ada kepentingan berganda dan menjalankan dua tugas pada satu masa, itu merupakan petanda untuk menjadi sebuah negeri yang gagal.

“Sebabnya, rasuah akan menyerbu masuk,” katanya lagi.

Abang Jo memberitahu, hakikat itu disuarakan berdasarkan pengalaman 35 tahunnya dalam politik, sejak 1981.

Pada masa yang sama, katanya setiap wakil rakyat harus memakai baju mengikut ukuran sendiri dan tidak terikut-ikut dengan orang lain.

“Kalau orang hendak pakai Rolex….kita nak Rolex juga. Kalau orang lain pakai Mercedes, kita hendak pakai Mercedes juga.

Menurutnya, kalau niat seseorang pemimpin itu masuk politik untuk membantu rakyat, maka bantulah.

“Tetapi jika mereka masuk politik kerana hendak mencari wang, itu salah!”

Kebanyakan negara di dunia menghadapi kegagalan kerana berlakunya pertembungan di antara kehendak komersial dan keinginan untuk membantu orang.

Kerana itu kata Abang Johari, beliau berpandu kepada falsafah Ibn Khaldun dalam melaksanakan ekonomi Sarawak pada masa depan.

“Ekonomi masa depan adalah berlandaskan teknologi dan ilmu, kerana itu Sarawak bakal berpandukan ekonomi digital,” katanya lagi.

Sewaktu mesyuarat pertamanya, Kabinet Abang Johari telah membacakan ikrar integriti, yang antara lain berjanji untuk mengelakkan rasuah dalam pentadbirannya. – Sarawakvoice