KOTA SAMARAHAN: Kerajaan telah mengenal pasti bahawa 80 peratus daripada golongan belia yang terbabit dalam aktiviti militan di negara ini telah memperoleh maklumat awal mengenai aktiviti itu daripada media sosial.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, maklumat awal ini antaranya diperoleh melalui aplikasi facebook, laman web dan telegram.

“Ia sebenarnya menjadi tempat merekrut militan yang paling besar sekali.

“Justeru itu, Jawatankuasa Kabinet telah mengesyorkan kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan beberapa langkah untuk kita memastikan sekatan terhadap beberapa laman web dan sebagainya dapat dilaksanakan secepat mungkin,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) di Universiti Malaysia Sarawak di sini sebentar tadi.

Khairy sebelum ini telah membentangkan kepada Kabinet akan kebimbangannya terhadap bilangan belia yang terlibat dalam aktiviti militan, yang agak tinggi.

“Malah hampir 90 peratus daripada mereka yang ditahan di bawah Rang Undang-undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) adalah golongan belia.

Sehubungan itu katanya, usaha bersepadu perlu diambil bagi mengekang perkembangan ini, termasuk melalui program dan pendidikan.

“Ini boleh dilakukan dengan menambahkan bilangan kaunselor, agar masalah kesihatan mental dalam kalangan individu yang terpengaruh dengan ciri-ciri militan ini dapat ditangani awal,” katanya lagi.

TN50 edisi kelima yang diadakan di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) pagi tadi dihadiri Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, yang menjawab pelbagai persoalan oleh para peserta, terutamanya golongan belia. – Sarawakvoice