Bayar pengorbanan Penan dengan bekalkan mereka pendidikan, pekerjaan

SANTUBONG: Menteri Muda Pengangkutan Sungai dan Keselamatan, Liwan Lagang berkata terdapat pelbagai latihan dan aktiviti bagi menaikkan taraf hidup masyarakat Penan khususnya melalui bidang pendidikan.

Sejak tiga tahun lepas, pihak kementerian membawa pelajar Penan lepasan Tingkatan Tiga serta yang tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ke Kuching.

Mereka ini dibawa ke Institut Pendidikan Guru (IPG), Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Universiti Teknologi Mara (UiTM) serta kolej teknikal lain bagi memberi pendedahan melihat sendiri peluang menuntut ilmu di pusat pengajian tinggi.

Pada 2016, seramai 175 belia Penan dibawa ke Program “Jom Masuk U”.

Ada ramai di kalangan mereka berjaya menuntut di UiTM, Politeknik, Unimas, IPG Batu Lintang dan kolej komuniti.

Memetik laporan Utusan Sarawak pada Sabtu, Liwan berkata, program ini berjaya berkat bantuan Tenaga Sarawak Berhad (SEB) dan SEB menjalankan kerja yang baik membantu belia Penan ini.

Bercakap pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Geran Bantuan Pelajar Penan Tajaan Tabung Amanah Bakun (TAB) 2016/2017 di Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS), Santubong pada Jumaat, Liwan berkata, lima belia Penan berada di Labuan mengikuti latihan kerja pada tahap 6G bidang kimpalan.

Menurut Liwan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belaga Lagang, 16 orang lagi berada di CENTEXS dalam proses mendapatkan tahap 6G dan 18 orang di Giatmara.

Menurut Utusan Sarawak lagi, berita baik untuk anak generasi Penan khususnya di Belaga kerana mereka dijamin bekerja dengan SEB dan syarikat lain selepas menamatkan pengajian di bidang masing-masing.

Komuniti di Belaga banyak berkorban penempatan, budaya dan kehidupan mereka demi memberi ruang kepada pembangunan.

Justeru menurut Liwan, penduduk di kawasan terjejas mengharapkan syarikat berkepentingan membawa pembangunan di kawasan mereka turut menyumbang semula kepada mereka seperti memberi peluang pendidikan dan pekerjaan.

SEB turut menyediakan geran berjumlah RM200,000 setahun bagi menjayakan program untuk kepentingan komuniti Penan. – Sarawakvoice