Jelajah penerangan UMNO untuk hasil manifesto bersifat tempatan

ARAU: Barisan Nasional akan membawa manifesto yang mempunyai ciri-ciri ‘tempatan’ sesuai dengan tuntutan dan keperluan yang berbeza di setiap tempat sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14.

Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa berkata untuk membina manifesto yang bersifat Pro-Rakyat itu, pihaknya melakukan Siri Jelajah Penerangan UMNO ke seluruh negeri bagi menggarap kemahuan rakyat serta merasai sendiri denyut nadi masyarakat secara lebih dekat.

“Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri arahkan supaya pemimpin dan wakil rakyat turun ke akar umbi dan berjumpa dengan semua lapisan masyarakat agar mampu menjadi input bagi menggubal manifesto itu nanti.

“Keluh kesah dan apa yang diingini rakyat berbeza mengikut kawasan kerana dipengaruhi pelbagai faktor seperti sosio ekonomi dan budaya mereka, jadi apa yang kita beri menerusi manifesto itu nanti mestilah sesuai dengan keadaan mereka seperti yang mereka perlukan,” katanya.

Annuar berkata demikian kepada pemberita ketika siri jelajah penerangan UMNO di Kampung Lat Seribu, Simpang Empat, Arau di sini hari ini.

Annuar berkata pergerakan dan fokus jentera BN mesti dipelbagaikan agar sentuhan Pro-Rakyat itu sampai ke segenap lapisan masyarakat dan tiada satu pun golongan yang tertinggal.

“Pemimpin dan wakil rakyat mesti mampu berkorban turun ke tempat ceruk yang panas, kawasan yang dia sendiri tidak selesa untuk lihat dengan jelas keadaan yang berlaku di peringkat rakyat.

“Rakyat sekarang lebih terpelajar, malah ada informasi atau input membina yang rakyat lebih tahu daripada pemimpin, jadi kita kena dengar sendiri untuk perbaiki kelemahan dan terus memberi perkhidmatan yang terbaik,” katanya.

Annuar berkata selepas semua perkara yang perlu dipertimbangkan dikumpul menerusi siri jelajah itu, beliau yakin BN mampu menyediakan sebuah manifesto yang mencerminkan kehendak dan aspirasi masyarakat tempatan.

“Kerajaan BN dari dulu sentiasa jujur dan ikhlas berkhidmat untuk kesejahteraan rakyatnya dan punyai banyak ‘track record’ yang berjasa, cuma perlu ditambah baik dari semasa ke semasa.

“Usaha dan konsistensi BN untuk rakyat jauh lebih baik, berbeza dengan pembangkang yang hanya tahu mencari salah tanpa sebarang input membina mahupun rekod berjasa,” katanya. Bernama