KUCHING: Kementerian Kerja Raya masih belum menerima sebarang laporan mengenai kemusnahan infrastruktur susulan banjir yang melanda Sarawak baru-baru ini.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, jalan persekutuan yang ada sekarang ini adalah laluan yang sedang dinaik taraf di bawah jajaran Pan Borneo.

“Kebanyakan yang terjejas ini mungkin jalan negeri ataupun jalan Majlis Daerah.

“Ketika ini jalan Pan Borneo tidak terjejas, dan sekiranya ia berlaku, sememangnya proses naik taraf laluan tersebut masih berjalan.

Katanya, pihaknya tidak menolak mungkin ada jalan-jalan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang terbabit, namun pihaknya masih belum mendapat laporan daripada Jabatan Kerja Raya Negeri.

Jawatankuasa Penilaian Kerosakan katanya, telah ditubuhkan di peringkat negeri di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.

“Kalau melibatkan infrastruktur, negeri akan membuat penilaian, dan jika melibatkan jalan persekutuan akan dirujuk kepada kami,” jelasnya.

Fadillah ditemui pada Majlis Penyerahan Bantuan Rakyat 1Malaysia untuk parlimen P194 Petra Jaya di Kompleks Akademi Kastam Diraja Malaysia di Jalan Matang, dekat sini.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri Tupong, Fazruddin Abdul Rahman.

Banjir melanda utara dan tengah Sarawak sejak bulan lalu dan menjejaskan ribuan penduduk.

Ada sekolah yang dilaporkan terjejas, selain jalan dan jambatan yang rosak disebabkan arus yang kuat. – Sarawakvoice