SEPANG: China berharap krisis Malaysia-Korea Utara berpunca daripada pembunuhan Kim Chol, yang dilaporkan sebagai Kim Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, akan selesai secara baik.

“Kami berharap Malaysia dan Korea Utara dapat selesaikan masalah itu sebagai kawan,” kata Duta Besar China di Malaysia Dr Huang Huikang kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyampaikan Biasiswa Duta Besar China kepada 10 pelajar Malaysia dari kampus Xiamen University Malaysia di sini.

Hubungan diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara menjadi tegang berikutan pembunuhan Jong-nam di Lapangan Terbang Antarabangsa KL 2 (klia2) pada 13 Feb.

Jong-nam, yang menggunakan pasport dengan nama Kim Chol, sedang menunggu penerbangan ke Macau apabila dua wanita tiba-tiba menyapu mukanya dengan cecair yang kemudian dikenal pasti sebagai agen saraf VX.

Pakar geopolitik, Prof Dr Azmi Hassan, berkata China dilihat sebagai pilihan terbaik untuk menjadi orang tengah bagi menyelesaikan krisis antara Malaysia dan Korea Utara kerana negara kuasa besar itu mempunyai hubungan rapat dengan kedua-dua negara terbabit.

“Beijing mempunyai pengaruh yang amat kuat terhadap Pyongyang, dan Beijing juga mempercayai Kuala Lumpur, jadi ini menjadikan negara kuasa besar itu pihak yang ideal untuk menyelesaikan krisis tersebut,” katanya. Bernama