S’wak jana pendapatan RM8.3 bilion, terima 4.6 juta pelancong 2016

KUCHING: Sarawak menerima kehadiran 4.6 juta pelancong pada 2016 yang menjana pendapatan kepada negeri sebanyak RM8.3 bilion.

Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian, Datu Ik Pahon Joyik, dalam pada itu membandingkan jumlah pelawat yang diterima pada Januari 2017 ialah 420,000 orang meningkat hampir 50 peratus berbanding 283,000 pelancong memasuki Sarawak pada Januari 2016.

Hal ini menjadi petanda positif kepada industri pelancongan di Sarawak khususnya dari segi kemasukan pelancong domestik dari Semenanjung yang meningkat 40 peratus.

Bercakap semasa semasa merasmikan ’10th Sarawak MATTA Fair 2017′ pada Isnin Ik Pahon turut membentangkan bahawa kedatangan pelancong dari Singapura ke Sarawak pada Januari 2017 turut meningkat 38 peratus iaitu 3,661 orang berbanding 2,727 pelancong pada Januari 2016.

Dalam jerayawara kali ke-10 MATTA di Sarawak bermula 10-12 Mac, 19 ejen pelancongan dan pengembaraaan mengambil bahagian.

Sebanyak 70 tapak gerai pameran disediakan di pusat beli-belah Boulevard Kuching.

Jerayawara serupa diadakan di Miri pada 12-14 Mei.

Ik Pahon yakin kerjasama antara kerajaan dengan sektor swasta mampu melonjakkan  industri pelancongan negeri.

Kerjasama dengan syarikat penerbangan seperti Malaysia Airlines Berhad, AirAsia atau SilkAir harus terjalin erat demi memastikan perkembangan positif kedatangan pelancong ke Sarawak ini berterusan dan sentiasa meningkat.

Justeru, menurut beliau pemain industri yang lain perlu menyokong positif sektor pelancongan sesuai dengan pelaksanaan

Transformasi Agenda Negeri oleh Kerajaan Sarawak pada tahun ini meletakkan sektor pelancongan sebagai antara keutamaan.

Pada minggu lepas Kesatuan Pelancongan Sarawak diberi taklimat berkaitan program dan aktiviti kerajaan dalam Forum Pelancong Sarawak. – Sarawakvoice