Suspek berusia 32 tahun ditahan berhubung penculikan pastor

SHAH ALAM: Polis menahan seorang lelaki berusia 32 tahun bagi membantu siasatan kes kehilangan seorang pastor yang dipercayai diculik di Jalan Bahagia, Petaling Jaya bulan lepas.

Ketua Polis Selangor Datuk Seri Abdul Samah Mat ketika mengesahkan penahanan itu, berkata lelaki tersebut ditahan kira-kira 3.30 pagi Khamis di Ampang, Selangor hasil maklumat dan kerjasama keluarga mangsa.

“Suspek telah menghubungi anggota keluarga mangsa sehari sebelum tangkapan dibuat dan meminta sejumlah wang untuk pembebasan paderi tersebut,” katanya kepada media menerusi aplikasi WhatsApp.

Beliau berkata suspek kini ditahan reman empat hari bagi membantu siasatan menurut Seksyen 365 Kanun Keseksaan iaitu dengan niat menculik atau melarikan secara paksa.

Suspek turut disiasat di bawah Seksyen 385 kanun sama kerana pemerasan.

Media sebelum ini melaporkan pastor berusia 62 tahun itu dipercayai diculik oleh sekumpulan lelaki bertopeng pada 13 Feb lalu.

Laporan turut menyebut pastor itu kali terakhir dilihat memandu kereta jenis Honda Accord seorang diri sebelum kejadian. Bernama