SIBU: Setelah terapung lebih enam jam, mayat seorang lelaki berjaya ditemui pasukan penyelamat di Batang Rajang, dekat sini semalam.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri,Tiong Ling Hii berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian mayat terapung daripada Ibu Pejabat Polis Sibu sekitar jam 7.08 malam pada Rabu.

“Operasi kemudian digerakkan pada jam 12.32 tengah hari semalam setelah lokasi pencarian diputuskan oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang terdiri daripada pihak kita, Angkatan Pertahanan Awam dan polis.

Bomba katanya, menurunkan sebuah bot penyelamat dengan kekuatan tiga anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat Sibu.

“Mayat yang hanyut kemudian ditemui di Tanjung Penasu, sekitar 10km dari tempat kejadian pada jam 6.26 petang dan pihak bomba telah mengeluarkannya, sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Berdasarkan identifikasi, mangsa dikenal pasti sebagai Panaus Udin, 16 tahun, berbangsa Kenyah.

Sementara itu kata Ling Hii, operasi SAR seorang lelaki warga India yang jatuh dari kapal Sing Lee Hinn di antaraTanjung Ensurai dan Tanjung Lebaan, juga di Batang Rajang masih diteruskan.

“Operasi yang memasuki hari kelima hari ini masih belum menemui mangsa, dengan radius pencarian kini diperluas kepada 15km dari Tanjung Ensurai,” katanya lagi. – Sarawakvoice