Lelaki Cina direman untuk siasatan penculikan paderi Raymond Koh

PETALING JAYA: Suspek lelaki, 32, ditahan untuk direman dan siasatan empat hari oleh pihak polis di Ampang sekitar 3.30 pagi Khamis kerana dipercayai terlibat dalam kes penculikan paderi Raymond Koh Keng Joo

Ketua Polis Selangor, Datuk Seri Abdul Samah Mat berkata dalam kenyataan pada Khamis bahawa suspek menghubungi ahli keluarga mangsa sehari sebelum tangkapan dibuat.

Memetik laporan FMT, “pada 9 Mac 2017 lebih kurang 3.30 pagi, pihak polis berjaya menangkap suspek, seorang lelaki Cina berumur 32 tahun di Ampang, Selangor hasil maklumat dan kerjasama keluarga mangsa.”

Lelaki tersebut meminta sejumlah wang untuk pembebasan paderi berkenaan.

Abdul Samah mStar turut meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu penculikan ini.

Sebaliknya beliau meminta individu yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kes ini agar menyalurkannya kepada pihak polis.

Raymond atau Keng Joo diculik dari keretanya oleh sekumpulan lelaki di Jalan SS4B/10, Petaling Jaya kurang 100 meter dari Kompleks Perumahan Polis di Kelana Jaya pada 13 Februari lalu.

Menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang merakam insiden berkenaan terdapat sekitar 15 lelaki dan tiga kenderaan SUV terlibat menjalankan operasi penculikan berkenaan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan iaitu dengan niat menculik atau melarikan secara paksa dan Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana pemerasan.

Polis menjalankan siasatan lanjut berhubung kes ini.

Keluarga Raymond menawarkan ganjaran RM100,000 untuk maklumat yang membawa kepada penemuan beliau. – Sarawakvoice