Datuk Vida nyanyi “Makhluk Tuhan Paling Seksi” selepas bebas, bayar RM4.2 juta GST

IPOH: Jutawan kosmetik terkenal, Datuk Seri Hasmiza Othman dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen Ipoh selepas membayar Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) RM4.2 juta bagi tempoh April 2015 hingga Julai 2016.

Pemilik syarikat Vida Beauty Sdn Bhd yang juga dikenali sebagai Datuk Vida menjelaskan bayaran sebelum kes perbicaraan 16 pertuduhan gagal membayar GST didengar di mahkamah.

Sebelum ini, Datuk Vida, 45, didakwa atas 16 pertuduhan gagal membayar cukai GST di bawah Seksyen 41 (7) Akta GST 2014 yang boleh dihukum denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada Disember lepas, Vida mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh atas 16 pertuduhan gagal mengemukakan penyata GST dan didenda sebanyak RM80,000.

Menurut Kosmo, Hakim Murtazadi Amran membenarkan kastam menarik balik kesemua 16 pertuduhan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran mengesahkan jutawan itu telah menjelaskan semua cukai GST.

Terdahulu, Syed Ahmad Syed Abas mewakili Vida memohon pihak pendakwaan menarik balik semua tuduhan kerana anak guamnya membuat pembayaran penuh RM4,246,029.10.

Hakim turut mengarahkan pasport antarabangsa Vida yang diserahkan kepada mahkamah sebelum ini diberikan semula kepada tertuduh.

Murtazadi dalam penghakimannya berkata beliau amat berminat untuk mendengar perbicaraan kes itu kerana ia merupakan sebuah kes yang menarik dan mendapat perhatian ramai.

mStar melaporkan, setelah selesai prosiding, Vida berkata, “Ini satu ujian, ini satu rahmat untuk saya pergi lebih tinggi. Saya bersyukur, saya dah bebas,” katanya.

Beliau turut menyanyikan lagu “Makhluk Tuhan Paling Seksi” yang dipopularkan penyanyi Indonesia Mulan Jameela sambil menyatakan perasaan tidak sabar untuk melancong ke luar negara. – Sarawakvoice