Rizab antarabangsa BNM kekal pada RM426.3 bilion

KUALA LUMPUR: Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia (BNM) kekal pada US$95 bilion (bersamaan dengan RM426.3 bilion) pada 28 Feb, 2017 berbanding 31 Jan, 2017.

“Paras rizab ini memadai untuk membiayai 8.5 bulan import tertangguh dan 1.1 kali hutang luar negeri jangka pendek,” menurut BNM dalam kenyataan pada Selasa.

Hutang luar negeri jangka pendek itu termasuk peminjaman luar pesisir jangka pendek, pemegangan sekuriti hutang jangka pendek dalam ringgit oleh bukan pemastautin, deposit bukan pemastautin dengan sistem perbankan dan hutang jangka pendek yang lain.

Komponen utama rizab antarabangsa itu ialah rizab mata wang asing (US$87.9 bilion), kedudukan Rizab Tabung Kewangan Antarabangsa (US$0.8 bilion), Peruntukan Hak Pengeluaran Khas atau SDR (US$1.1 bilion), emas (US$1.4 bilion) dan lain-lain aset rizab (US$3.8 bilion).

Aset bank pusat itu termasuk emas, pertukaran asing dan rizab lain termasuk SDR (RM426.261 bilion), kertas Kerajaan Malaysia (RM3.860 bilion), deposit dengan institusi kewangan (RM1.765 bilion), pinjaman dan pendahuluan (RM7.781 bilion), tanah dan bangunan (RM2.114 bilion) dan aset lain (RM8.740 bilion).

Liabiliti merangkumi modal berbayar (RM100 juta), rizab (RM147.391 bilion), mata wang dalam edaran (RM99.829 bilion), deposit oleh institusi kewangan (RM171.634 bilion), deposit oleh Kerajaan Persekutuan (RM6.329 bilion), deposit lain (RM359.174 juta), kertas Bank Negara (RM9.466 bilion), peruntukan SDR (RM8.118 bilion) dan liabiliti lain (RM7.294 bilion). Bernama