KUCHING: Malaysia memerlukan sekitar 1.6 juta tenaga mahir bagi mengisi peluang pekerjaan di semua koridor ekonomi menjelang 2020.

Malaysia pernah menyasarkan menjelang 2020 memiliki 20 peratus pelajar mengikuti aliran teknik dan vokasional.

Betapapun, tiga tahun lagi menuju 2020, hanya 7 peratus pelajar di seluruh negara mengikuti pendidikan teknik dan vokasional.

Pengarah Bahagian Pendidikan Teknik dan Vokasional Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Zainuren Mohd Nor berkata, dengan menaik taraf sekolah vokasional seluruh Malaysia, ibu bapa dan pelajar sudah memberi respons positif memohon bidang kemahiran ini.

Bercakap pada Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Kolej Vokasional Matang Bersama Industri di Yayasan Sarawak pada Isnin, Zainuren berkata, berbanding negara serantau, penyertaan pelajar negara ini menyertai teknik dan vokasional jauh ketinggalan.

Melalui bidang vokasional, negara menyasar melahirkan 70 peratus tenaga kerja mahir, 20 peratus dapat melanjutkan pelajaran pringkat tinggi dan 10 peratus menjadi usahawan.

Justeru, beliau berharap akan lebih ramai pelajar memilih pendidikan teknik dan vokasional demi mengisi keperluan tenaga kerja negara pada masa depan. – Sarawakvoice