M’sia mampu hasilkan sehingga 900,000 tan biodiesel 2017

0
6

KUALA LUMPUR: Dengan pelaksanaan mandat biodiesel, Malaysia mampu menghasilkan sehingga 900,000 tan biodiesel pada tahun ini berbanding hanya 500,000 tan pada 2016.

Sebagai perbandingan, setakat ini, pengeluaran biodiesel Indonesia meningkat kepada 3.5 juta tan pada 2017 berbanding tiga juta tan pada 2016.

Memetik Bernama, Presiden Persatuan Biodiesel Malaysia U.R Unnithan percaya kerajaan akan melaksanakan biodiesel B10 bila-bila masa, susulan pasaran minyak sawit yang lemah.

Biodiesel B10 merupakan campuran 10 peratus metil ester sawit (PME) dan 90 peratus diesel petroleum.

Manakala, B7 terdiri daripada tujuh peratus PME.

Bercakap di luar Persidangan Minyak Sawit dan Laurik Global anjuran Bursa Malaysia selepas membentang kertas kerja pada Isnin, Unnithan berkata semasa persatuan memulakan industri tersebut, kerajaan mengeluarkan 52 lesen mengendalikan loji biodiesel, namun hanya 20 syarikat yang sanggup menerima cabaran tersebut.

Kini, hanya terdapat 17 syarikat berlesen yang aktif.

Menurut Unnithan, pengeluaran dapat dimaksimunkan dan memberi keuntungan sekiranya pihak industri dapat meningkatkan 100 peratus kapasiti berbanding penggunaan di bawah 25 peratus kapasiti sekarang. – Sarawakvoice