[Kolumnis] Apa sudah jadi dengan Korea Utara?

Nasib sekitar 170 pekerja 3D mahir dari Korea Utara di Sarawak yang kini bekerja di lombong pastinya menjadi perhatian sekarang.

Semuanya bermula dengan kematian seorang warga Korea Utara bernama Kim Chol pada pasportnya pada 13 Februari 2017 lalu di KLIA2 yang difahamkan merupakan abang kepada Presiden Korea Utara, Kim Jon-Un.

Dari detik itu hubungan diplomatik Malaysia-Korea Utara nampak telah memasuki suatu babak baharu yang penuh ketegangan.

Identiti mangsa sama ada benar-benar Kim Jong-Nam masih belum dapat disahihkan berikutan belum ada ahli keluarganya yang tampil membantu membuat pengesahan menerusi ujian DNA.

Seribu satu  persoalan juga kerana jika bukan Kim Jong-Nam, mengapa Kim Jong-Nam sebenar tidak mahu tampil diri untuk meredakan keadaan?

Apalah nasib Malaysia, bukan alang-alang orang. Negara Korea Utara pula itu. Kes pembunuhan pula. Lainlah jikalau cerita pasal Moranbong Band yang dikatakan membawa suatu revolusi budaya di negara komunis berkenaan.

Kes yang rumit kerana melibatkan warganegara Vietnam dan Indonesia selain Korea Utara sendiri.

Betul-betul macam filem James Boon 007 mahupun Johnny English. Selesai kes ini kelak boleh dibikin filem Mission Impossible juga.

Korea Utara memberikan kejutan kepada seluruh dunia apabila menghalang rakyat Malaysia meninggalkan negara mereka.

Reaksi segera Menteri Dalam Negeri (KDN) merangkap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Zahid Hamidi telah mengeluarkan arahan serta-merta kepada Jabatan Imigresen tiada mana-mana pegawai di kedutaan Korea Utara meninggalkan Malaysia.

Mulai Isnin mana-mana warganegara Korea Utara yang ingin berkunjung ke Malaysia sudah perlu memohon visa.

Dalam media sosial pula kelihatan seolah-olah ada pihak yang berkeinginan melihat Korea Utara berperang dengan Malaysia.

Sebuah YouTube bertajuk “NORTH KOREA vs MALAYSIA Military Power Comparison – Korean Peoples Army VS Malaysian Army 2017 HD” telah dimuatnaikkan pada 25 Feb 2017 dan dalam masa beberapa hari sahaja telah mencapai lebih 250,000 hits.

Baru petang kelmarin Duta Besar Korea Utara ke Malaysia, Kang Chol meninggalkan Malaysia apabila diberikan notis meninggalkan Malaysia dalam tempoh 48 jam setelah diisytiharkan sebagai persona non grata (‘orang yang tidak dikehendaki’) oleh Malaysia.

Sebagai tindak balas, Korea Utara turut mengumumkan Duta Besar Malaysia ke Korea Utara, Mohamad Nizan Mohamad sebagai persona non grata.

Begitupun Mohamad Nizan sebenarnya telah pulang ke Malaysia sejak 22 Februari 2017.

Di samping sepertimana dilaporkan oleh kebanyakan media beliau ‘dipanggil pulang’ dari Pyongyang oleh kerajaan, terdapat juga sumber yang menyatakan beliau sebenarnya pulang disebabkan watikah pelantikan beliau sebagai Duta Besar Malaysia ke Korea Utara telah tamat dan beliau kini sedang menunggu penempatan tugas yang baharu.

Ini pastinya salah satu perkara yang perlu mendapat pengesahan dan mampu membantu meredahkan suasana tegang sekarang.

Kebetulan pula 28 Mac ini Malaysia dijangkakan akan bertemu dengan Korea Utara dalam perlawanan kelayakan Piala Asia 2019.

Pastinya Negaraku Malaysia tidak mahu melepaskan usaha melayakkan diri ke perlawanan akhir kejohanan terbesar anjuran Gabungan Bola Sepak Asia (AFC) ini.

Bukan sahaja Malaysia sebagai sebuah negara dilanda dilema kerana skuad pasukan Harimau Malaysia pastinya pun serba salah mahu masuk ke gua harimau.

Barangkali peluang terbaik kepada calon-calon Presiden FAM yang akan bertanding pada 25 Mac 2017 ini.

Meskipun sebagai peminat bola sepak tanah air nampak favorite memihak kepada TMJ (Tunku Mahkota Johor) berdasarkan rekod cemerlang Tunku Ismail Sultan Ibrahim membangunkan JDT.

Boleh tahan juga Tan Sri Annuar Musa menerajui The Red Warriors tetapi kelestarian (sustainability) pencapaian itu tidak impresif melihat nasib pasukan tersebut dua tiga tahun kebelakangan ini. Apa-apapun harap pasukan tersebut boleh bangkit mengukir nama.

Apa-apa pun juga kebajikan pemain Harimau Malaysia harus dititikberatkan dalam pertimbangan sama ada akan bermain di Korea Utara atau tidak. Secara umumnya, warganegara Malaysia telah dinasihatkan tidak mengunjungi negara tersebut.

Namun, pertemuan itu tidak akan menjadi kenyataan kerana Malaysia tidak mahu mempertaruhkan keselamatan pemain dan rakyatnya.

Meskipun entah mengapa terdapat keinginan melihat penyatuan Korea Selatan dengan Korea Utara yang terpisah disebabkan oleh perang sejak 1948. Jerman Barat dan Jerman Timur pun telah bergabung menjadi Jerman pada 1990.

Kes yang nampak jauh lebih sukar daripada tragedi MH370 dan MH17 juga telah menarik perhatian seluruh Dunia. Di kala Vietnam dan Indonesia memberikan kerjasama sepenuhnya, Korea Utara nampak mempunyai pandagan yang berbeza.

Hubungan bilateral yang tercalar ini memerlukan tindakan segera untuk diperbaiki sebelum terbabas lebih jauh biarpun memerlukan suatu jangka masa panjang untuk dileraikan. – Sarawakvoice