Wednesday, September 22, 2021

Dua motosikal bertembung- seorang maut, dua parah di Jalan Sungai Pasir-Roban

Mesti baca

KABONG: Suami parah manakala isterinya maut dalam kemalangan yang membabitkan dua buah motosikal di kawasan Jalan Sungai Pasir-Roban malam tadi.

Dalam insiden yang berlaku kira-kira-kira jam 8 malam itu, pasangan suami isteri yang menunggang motosikal jenis Honda dikatakan sedang dalam perjalanan balik dari membeli barangan keperluan harian di kedai runcit di Kampung Nyabor.

Bagaimanapun motosikal yang ditunggangi telah bertembung dengan sebuah motosikal jenis Yamaha LC yang dipandu seorang remaja lelaki datang dari arah bertentangan.

Akibat pertembungan itu, mangsa seorang wanita berusia 50 tahun yang menjadi pembonceng terpelanting dari motosikal dan mengalami kecederaan parah di kepala mengakibatkannya meninggal serta-merta di tempat kejadian.

Manakala, suami wanita malang itu juga turut mengalami kecederaan parah dalam kejadian tersebut.

Turut cedera parah adalah remaja lelaki yang terlibat dalam insiden perlanggaran itu.

Pihak polis dari Balai Polis Kabong yang menerima panggilan tentang kejadian tiba di tempat kejadian kira-kira jam 9 malam.

Mangsa yang parah kemudiannya dikejarkan ke Klinik Kesihatan Nyabor dan kemudiannya terpaksa dirujuk ke Hospital Saratok untuk rawatan lanjut.

Mangsa yang maut turut di bawa ke Hospital Saratok untuk proses siasatan lanjut.

Berdasarkan maklumat awal daripada pihak polis, pasangan suami isteri berkenaan adalah merupakan penghuni Rumah Panjang Adey Sungai Pasir.

Manakala, remaja lelaki yang terlibat berasal dari Rumah Panjang Kochon Jabey Sungai Pasir.

Sehingga berita ini ditulis, mayat mangsa kini masih berada di Hospital Saratok. – Sarawakvoice

Secara Rawak

Artikel Terbaru