JAKARTA: Dapat dilihat bagaimana ramahnya Raja Arab Saudi Salman bin Abdulaziz al-Saud, 81 ketika berswafoto atau berselfie dengan pemimpin Malaysia dan Indonesia semasa lawatan baginda ke Asia baru-baru ini.

Raja Salman berswafoto selain diliputi media setempat, turut disiarkan media di Arab Saudi sendiri.

Malah, baginda dilihat ramah dalam memanfaatkan kemudahan media sosial di internet.

Raja berusia 81 tahun itu turut muncul dalam video blog atau vlog milik Presiden Indonesia Joko Widodo atau Jokowi.

“Saya gembira berada di Indonesia. Senang dengan rakyat Indonesia dan ketika ini saya bersama-sama Presiden Indonesia,” ucap Raja Salman “Penjaga Dua Kota Suci” sambil dibantu penterjemah.

Vlog tersebut dimuat naik pertama kali oleh Presiden Jokowi ke akaun Facebook rasmi pada Rabu, 1 Mac 2017.

Al-Arabiya pada Khamis, 2 Mac melaporkan, swafoto Raja Salman dengan Perdana Menteri Malaysia Najib Tun Razak menjadi viral di media sosial.

Foto tersebut diambil ketika kedua-dua ketua negara itu berada di dalam kereta semasa lawatan Raja Salman di Kuala Lumpur sebelum baginda berangkat ke Indonesia pada 1 Mac lepas.

Video dan foto dengan Jokowi serta Najib menunjukkan keakraban Raja Salman yang terlihat sebagai tokoh hartawan yang peramah.

Bergambar atau berswafoto dengan pemimpin tertinggi negara lain, mungkin bukan isu yang perlu dibincangkan.

Namun, apabila Raja Salman sebelum ini melayan permintaan berswafoto dengan rakyat biasa, ia menjadi isu tular di media sosial khususnya di Arab.

Media Okaz pada 3 Mac lepas, membicarakan isu pro dan kontra yang viral di media sosial dan laman sesawang peribadi, perihal keramahan Raja Salman dalam berswafoto dengan pelbagai golongan rakyat biasa.

Pegawai Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) Abdullah Umar berkata dari Jedah seperti dilaporkan Antara pada Isnin, 6 Mac bahawa Okaz tidak mengecam perilaku swafoto dan vlog yang baru-baru ini beredar.

Raja Salman sebelumnya dilaporkan pernah berswafoto dengan pelatih penjaga gol Kelab Bola Sepak al-Nasr, Jose Rene Higuita Zapata warga Colombia semasa menerima medal Piala Raja, 29 Mei 2016.

Raja Salman menurut Umar juga tidak menolak ajakan selfie tersebut, bahkan tetap tersenyum dan melayannya dengan ikhlas

Seorang kanak-kanak Saudi juga sebelumnya dilayan berswafoto dengan baginda semasa majlis penyampaian hadiah Anugerah Raja Abdul Aziz untuk Prestasi Terbaik Februari 2016.

Semasa menjadi Putera Mahkota 2014, Raja Salman dilaporkan pernah melayan permintaan swafoto bersama rakyatnya.

Umar menyifatkan, sikap ini tentunya menandakan sifat Raja yang sangat tawaduk atau rendah hati dan dekatnya baginda dengan rakyat. – Sarawakvoice