KUCHING: Kerajaan Negeri Sarawak akan merujuk kepada Wisma Putra (Kementerian Luar Negeri) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung status pekerja Korea Utara di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata, terdapat lebih 170 pekerja dari negara itu mencari rezeki di negeri ini, dengan pengkhususan dalam bidang perlombongan arang batu selain terlibat dalam projek khas di Lawas.

“Saya sekarang ini sedang berbincang dengan pihak keselamatan mengenai dengan kedudukan pekerja dari negara itu berdasarkan situasi semasa, yang menyebabkan hubungan diplomatik Malaysia-Korea Utara terjejas.

“Ketika ini kita masih berbincang dan menunggu nasihat mereka.

“Perbincangan itu juga melibatkan pihak Imigresen, selepas kerajaan mengetatkan beberapa peraturan termasuk mewajibkan visa kepada mereka,” katanya selepas merasmikan Forum Landskap Hutan di sini pagi tadi.

Forum empat hari itu dianjurkan bersama oleh Jabatan Hutan Sarawak, Sarawak Forestry Corporation, Universiti Putra Malaysia, Persatuan Perkayuan Sarawak, Harwood Timber Sdn Bhd dan Perbadanan Perusahaan Perkayuan Sarawak (Pusaka).

Menurut Abang Johari, selain dalam perlombongan arang batu, pekerja dari negara tersebut juga diambil bekerja dalam kerja-kerja pembinaan yang memerlukan kemahiran tinggi seperti jambatan dan empangan hidro.

Berdasarkan sumber Jabatan Imigresen Sarawak, pekerja Korea Utara mula diambil bekerja dalam sektor perlombongan arang batu di negeri ini berikutan perjanjian khas di antara Kerajaan Negeri dan Pyongyang pada tahun 2014 dan wajib memiliki permit sah.

Hubungan diplomatik kedua-dua negara yang terjalin sejak 30 Jun 1974 hingga kepada pembukaan pejabat kedutaan di Kuala Lumpur pada tahun 2003, semakin keruh apabila kedua-dua duta diklasifikasikan sebagai personae non grata.

Dan hari ini, Pyongyang melarang kakitangan kedutaan Malaysia keluar negara, dan tindakan balas serupa diambil oleh Kerajaan Malaysia, berkuat kuasa serta merta.

Ia berpunca daripada insiden pembunuhan abang kepada Presiden Korea Utara, Kim Jong Nam pada 13 Februari. – Sarawakvoice