Tujuh suspek pengganas dicekup Bukit Aman

0
12

KUALA LUMPUR: Bahagian Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman sekali lagi mencapai kejayaan apabila menahan tujuh lelaki, termasuk seorang rakyat Malaysia kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti pengganas.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, mereka ditahan dalam operasi khas yang dilaksanakan pada 21 hingga 26 Februari lalu.

“Tangkapan pertama dilakukan pada 21 Februari lalu melibatkan seorang rakyat Malaysia yang bekerja sebagai juruteknik dan berusia 41 tahun.

“Turut ditangkap, rakannya, seorang rakyat Indonesia yang berusia 28 tahun yang bekerja sebagai petani.

Kedua-duanya ditangkap di Kepong dengan warga Indonesia terbabit pernah diusir dari Turki pada Jun lalu ketika cuba menyusup masuk ke Syria.

Kata Khalid, siasatan awal mendapati kedua-dua suspek telah mendapat arahan daripada Mohammad Wanndy Mohamad Jedi untuk melancarkan serangan bom kenderaan “Vehicle Borne Improvised Explosive Device” di negara ini.

Seorang lagi suspek dari Asia Timur katanya, ditangkap pada 23 Februari di Petaling Jaya.

“Berusia 37 tahun, suspek merupakan anggota kumpulan pengganas dari Asia Timur yang menjadikan Malaysia sebagai lokasi transit dan perlindungan.

“Suspek memasuki Malaysia pada tahun 2011 dengan menggunakan pas pelajar palsu dan mempunyai hubungan dengan seorang lagi anggota kumpulan pengganas dari Asia Timur yang bertanggungjawab mengatur penyusupan anggota kumpulan tersebut ke negara ini sebelum berlepas ke Syria, untuk menyertai Daesh.

Empat rakyat Yaman yang ditahan pada 26 Februari di Serdang dan Cyberjaya pula katanya, disyaki anggota kumpulan pemberontak di Yaman.

“Siasatan awal mendapati mereka juga terlibat dalam aktiviti pemalsuan dokumen perjalanan.

“Turut dirampas pelbagai pasport antarabangsa dan wang tunai RM270 ribu dalam pelbagai matawang asing.

“Dipercayai wang tersebut akan disalurkan kepada kumpulan pemberontak tersebut.

Khalid berkata, kesemua suspek disyaki melakukan kesalahan di bawah Bab VIA-Kesalahan berkaitan dengan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas ) 2012 (Akta 747) manakala seorang suspek ditangkap di bawah Akta Imigresen Malaysia 1959/63. – Sarawakvoice