Pintu air tidak diselenggara punca banjir di Santubong – Wan Junaidi

KUCHING: Berpunca daripada pintu air yang tidak diselenggara dengan baik, tiga kampung di kawasan Santubong berhadapan risiko tenggelam setiap kali berlakunya fenomena air pasang dan hujan lebat tidak berhenti.

Sehubungan itu, ahli parlimennya yang juga Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar mahu masalah ini ditangani segera.

“Sejumlah RM1.2 juta telah diluluskan bagi menjalankan projek tebatan banjir di kawasan ini, yang melibatkan kerja-kerja naik taraf untuk meninggikan parameter  serta membina struktur ‘longgokan batu’ di kawasan terbabit,” katanya.

Tiga kampung yang dimaksudkan ialah Kampung Sungai Lumut, Kampung Sungai Bedaun dan Kampung Sungai Batu.

Wan Junaidi berkata, kesemua projek ini telah mendapat kelulusan serta-merta dan akan dimulakan dalam masa terdekat.

“Ia dijangka siap dalam tempoh dua hingga tiga bulan kerana dikhuatiri berlaku air pasang besar dalam tempoh pembinaan,” katanya ketika ditemui selepas melawat tapak kerja penambahbaikan pintu air Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri di Kampung Sungai Bedaun, dekat sini, semalam.

Menurutnya, sebanyak RM480 ribu diperuntuk untuk Kampung Sungai Batu, Kampung Sungai Bedaun (RM446,700) dan Kampung Sungai Lumut (RM243,300).

“Kos ini melibatkan projek tebatan di kawasan yang ada penempatan penduduk terlebih dahulu manakala fasa berikutnya melibatkan kawasan luar yang tidak dihuni.

Sementara itu, mengulas isu timbunan sisa balak hanyut sepanjang 30 kilometer di Sungai Balui, Belaga hingga menyekat aliran air sungai tersebut, Wan Junaidi meminta Kerajaan Negeri bertindak segera sebelum ia menimbulkan masalah lebih serius termasuk banjir buruk di kawasan berdekatan.

“Tindakan adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri dan diharapkan mereka dapat bertindak segera bagi mengatasi masalah ini.

Katanya, syarikat pembalakan dan perladangan di negeri ini perlu lebih bertanggungjawab dalam usaha memelihara alam sekitar dan tidak hanya mementingkan keuntungan semata-mata.

“Kelalaian serta sikap sambil lewa pengusaha balak dan ladang boleh mengakibatkan kerosakan teruk terhadap ekosistem alam sekitar sekali gus memberi kesan negatif kepada masyarakat sekelilingnya.

“Misalnya, tanah rizab sungai yang diperuntuk kerajaan hendaklah dipelihara dan tidak diganggu kerana dikhuatiri mendatangkan mudarat kemudian hari.

Berdasarkan laporan media, serpihan balak di sepanjang Sungai Balui, Belaga dan sebahagian daripada kawasan Takungan Bakun, telah terkumpul sejak 2011.

Fenomena yang sama pernah berlaku di Batang Rejang sebelum ini, hingga memusnahkan banyak jeti kampung. – Sarawakvoice