KUCHING: Cari penempatan baharu dan pindah. Itu sahaja jalan penyelesaian isu banjir yang kini sedang melanda pedalaman Sarawak.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, tidak ada pilihan lain untuk penduduk-penduduk tebing dan pinggir sungai ini kerana mereka akan terus-terusan menjadi mangsa banjir setiap kali air melimpah tebing pada musim landas dan tengkujuh.

“Ia berpunca daripada taburan hujan yang luar biasa dan dasar sungai yang semakin cetek,” katanya mengulas tragedi banjir yang sedang melanda kawasan Baram kini.

Oleh itu, katanya pemimpin dan penduduk yang terlibat perlu mencari kawasan baharu yang lebih selamat dan tinggi, dan cadangkan kepada Kerajaan Negeri untuk dijadikan kawasan penempatan semula.

“Tebatan banjir boleh diusahakan namun ia tidak akan berfungsi sebaiknya jika dasar sungai terus cetek dan jumlah hujan turun dengan luar biasa,” katanya lagi.

Beliau ditemui wartawan selepas menyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2017 Peringkat Parlimen Santubong di Dewan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) di Demak Laut semalam.

Wan Junaidi menjelaskan sebanyak 10 kampung terjejas dan tenggelam di Baram setelah hujan turun berterusan tanpa henti, fenomena yang sama menyebabkan banjir kilat di Kuching pada tahun-tahun lalu.

Seramai 172 individu menjadi penerima pertama sumbangan BR1M bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut dan Pantai Damai hari ini daripada 14,366 dari Parlimen Santubong yang layak.

Ia melibatkan peruntukan mencecah RM5.74 juta. – Sarawakvoice