KUCHING: Mayat seorang lelaki tanpa identiti telah ditemui berhampiran Pulau Lakei dekat sini setelah operasi mencari mayat diaktifkan susulan menerima laporan daripada penduduk Kampung Senari.

Pegawai Komunikasi Korporat Maritim Malaysia Wilayah Sarawak, Muhammad Hainizam Mohd Jamil berkata, mayat tersebut pada mulanya ditemui sekitar jam 10.30 malam tadi oleh sekumpulan pemancing dan sedang hanyut ke arah laut.

Pemancing tersebut, Sufian Junaidi, berkata ketika menemui mayat tersebut, beliau dan empat rakannya sedang memancing di kawasan sungai berhampiran limbungan Syarikat KKB, Kampung Goebilt.

“Oleh kerana keadaan malam terlalu gelap, mayat tersebut hilang dari pandangan dan beliau terus membuat laporan polis pada malam tersebut.

“Bertindak atas laporan, sebuah bot maritim dah sebuah bot Bomba telah diaturgerakkan seawal jam 7 pagi tadi setelah operasi mencari diaktifkan.

Sekitar jam 1.47 petang tadi, katanya mayat tersebut telah berjaya ditemui di lokasi lebih kurang 0.4 batu nautika dari Tanjung Po.

“Mayat tersebut telah dibawa menggunakan bot maritim ke jeti Kompleks Maritim Tun Abang Salahuddin (KOMTAS) sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” jelasnya. – Sarawakvoice