Harga siling bahan api diumum setiap minggu, mulai April

LARUT: Harga siling bahan api akan diumumkan setiap minggu mulai bulan depan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hamzah Zainuddin.

Beliau berkata, ketetapan harga siling minyak itu mungkin akan diumumkan pada hari Isnin atau Sabtu setiap minggu berbanding ketika ini ia hanya dilakukan sebulan sekali.

Ujarnya, kerajaan menetapkan harga bagi mengelak bahan bakar tersebut melebihi harga yang sepatutnya di pasaran.

“Sebenarnya apa yang saya dan Menteri Kewangan Kedua (Datuk Seri Johari Abdul Ghani) lakukan adalah untuk memastikan rakyat merasai sesuatu yang ditentukan oleh Persatuan Peniaga Petroleum Malaysia.

“Terpulang kepada syarikat minyak untuk bekerjasama dengan persatuan dan memastikan bahawa tidak ada sesiapa yang ketinggalan daripada konsep yang kita hendak tetapkan ini,” katanya seperti dipetik Bernama.

Hamzah yang juga anggota Parlimen Larut bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Bagan Bharu di sini semalam.

Hamzah berkata, terpulang kepada syarikat minyak untuk bekerjasama dengan persatuan bagi memastikan tiada sesiapa ketinggalan daripada mengetahui harga siling ketika melalui kaedah yang ditetapkan kerajaan.

Mengulas lanjut, Hamzah berkata papan tanda harga siling bahan bakar akan diletakkan di semua stesen minyak di seluruh negara supaya pengguna dapat mengetahui sama ada ia meningkat atau menurun.

“Bila kita letak harga siling, terpulanglah kepada stesen minyak sama ada nak menurunkan harga atau bagaimana cara dia nak kempen supaya orang datang ke stesen minyak mereka termasuk menawarkan inisiatif,” katanya. – Sarawakvoice