MIRI: Mayat seorang guru lelaki yang terjatuh daripada bot panjang yang dinaikinya di Sungai Rajang Ahad lepas sudah dijumpai petang ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu, Di-Hatta Gobel berkata mayat Michael Usat Emang, 59, telah ditemukan pasukan menyelamat dan mencari pada pukul 4 petang.

“Mangsa dijumpai di kawasan Punan Sama dan mayat masih dalam keadaan sempurna,” katanya ketika dihubungi.

Mangsa yang merupakan guru sekolah rendah bersama isterinya sedang dalam perjalanan balik ke Sekolah Kebangsaan Nanga Telawan, Belaga setelah menziarahi saudara yang meninggal dunia di Punan Sama pada Ahad.

Semasa perjalanan bot panjang yang mereka naiki dilapor terlanggar batang kayu terapung menyebabkan mangsa terjatuh ke dalam sungai dan gagal menyelamatkan diri manakala isterinya berjaya berenang ke tepi sungai. Bernama