Najib nasihat UMNO Sabah terus kerja untuk kebajikan rakyat

KOTA KINABALU: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menasihatkan semua anggota UMNO di Sabah agar terus bekerja demi kebajikan rakyat di negeri ini.

Exco Wanita UMNO Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata presiden parti itu turut menasihatkan anggota parti supaya sentiasa turun padang untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat.

“Inilah amanat Datuk Seri Najib yang sangat bermakna kerana beliau prihatin dengan pembangunan di Sabah.

“Saya melihat beliau adalah idola yang perlu kita contohi kerana sebagai perdana menteri, beliau boleh pilih untuk selesa di Kuala Lumpur, tetapi beliau selalu juga datang ke Sabah agar kita (rakyat di Sabah) tidak rasa terpinggir (dengan pembangunan),” katanya.

Rosnah, yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya dan anggota Parlimen kawasan Papar, berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas perjumpaan pemimpin UMNO Sabah dengan Perdana Menteri di sini malam ini.

Sementara itu, Ketua Wanita UMNO Bahagian Silam Mizma Appehdullah berkata presiden parti telah meminta pemimpin dan anggota UMNO supaya sentiasa bersiap siaga, walaupun bukan dalam musim pilihan raya.

Menurutnya, ini termasuk mengenal pasti dan menyelesaikan masalah rakyat.

“Presiden juga telah meminta agar Sabah terus jadi ‘simpanan tetap’ kepada kemenangan Barisan Nasional,” tambahnya.

Terdahulu, Najib meluangkan masa kira-kira dua jam untuk berjumpa dengan pemimpin UMNO Sabah malam ini, yang turut dihadiri Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, yang juga Pengerusi UMNO Negeri. Bernama