Kehamilan remaja di Sarawak turun 428 kes tahun lepas

KUCHING: Kes kehamilan remaja di Sarawak turun sebanyak 428 kes tahun lepas namun statistik itu tidak menggembirakan Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti negeri Datuk Fatimah Abdullah.

Katanya beliau mahu angka penurunan lebih besar memandangkan Sarawak adalah antara negeri yang mencatatkan kes tertinggi di negara ini.

Tahun lepas Sarawak mencatatkan 2,481 kes berbanding 2,909 kes pada 2015.

Bercakap pada sidang media di sini hari ini, Fatimah mahu program pendidikan dan pencegahan kehamilan remaja yang bermula tahun lepas diperhebat.

“Kami akan memberi tumpuan di kawasan yang masalah ini berlaku dengan meluas,” katanya.

Fatimah berkata pihaknya akan terus melibatkan Jawatankuasa Pusat Sehenti Remaja Hamil yang ditubuhkan pada Oktober 2014 bagi meningkatkan usaha dengan kerjasama pejabat daerah, pelbagai badan bukan kerajaan, badan-badan keagamaan, pemimpin masyarakat dan ibu bapa.

Mengulas lanjut, beliau berkata daripada kes tahun lepas, sebanyak 1,553 melibatkan remaja berusia antara 15 dan 17 tahun, dan 122 kes dicatat oleh kumpulan umur 12-14 tahun. Bernama