Kenyataan Chong Chieng Jen jahat, tidak berasas dan tidak bertanggungjawab – Fatimah

0
3

KUCHING: “Jahat, tidak berasas dan tidak bertanggungjawab. Semuanya dikaitkan dengan ras dan agama, sedangkan beliau tidak tahu perkara sebenar.

Itu luahan Menteri Kebajikan,Wanita dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Fatimah Abdullah terhadap Adun Kota Sentosa yang juga Ketua Pembangkang, Chong Chieng Jen hari ini.

Ini berikutan komen beracun Chieng Jen dalam dua portal berita yang menuduh Jabatan Agama Islam Sarawak (Jais) melakukan saringan dalam pemilihan guru di negeri ini.

Tegas Fatimah, tuduhan Pengerusi DAP Sarawak itu padat dengan prasangka dan berniat busuk untuk menimbulkan “ketidaktenteraman” antara kaum.

“Sepatutnya beliau mengetuk pintu jabatan berkaitan atau bertemu menteri yang bertanggungjawab sebelum membawa isu ini ke media.

“Sudahnya, isu tersebut nyata satu manipulasi yang tidak ada kebenaran.

Menurutnya, perkara sebenar yang terjadi ialah individu bernama Wong Wang Yuen telah memohon satu kekosongan jawatan Pegawai Pendidikan DG41, yang diiklankan oleh Jais.

“Tujuan perjawatan tersebut diiklankan melalui media massa dan portal e-recruitment adalah untuk mengisi kekosongan penyelia sekolah-sekolah agama di bawah naungan Jais dan Kerajaan Negeri, seperti Pesantren Abdul Taib Mahmud dan Sekolah Agama Tun Ahmad Zaidi, selain kelas-kelas Kafa di seluruh negeri.

“Justeru itu, apabila individu yang dibela oleh Chieng Jen memohon, pastilah dia ditolak kerana tidak memenuhi kriteria yang diperlulan; bukannya kerana latar belakang bangsanya sebagai Cina.

Seperkara lagi, katanya kelulusan individu terbabit adalah Sarjana dalam bidang Sains dan Matematik, dan ini tidak sesuai untuk perjawatan yang diperlukan.

“Tuduhan yang dikaitkan seolah-olah menggambarkan Jais menyaring semua calon guru di negeri ini, ketika autonomi pendidikan diserahkan kepada negeri. Itu amat jahat dan tidak bertanggungjawab,” tegasnya.

Berdasarkan maklumat Jais, sejak iklan dikeluarkan pada 12 Januari dan tarikh tutupnya pada 27 Januari lalu, sebanyak 4,438 pemohon telah memohon jawatan tersebut, yang hanya mempunyai dua kekosongan.

“Sehubungan itu, pastinya pemilih membuat saringan akhir dan yang benar-benar memenuhi kelayakan sahaja diambil.

“Tidak wujud diskriminasi di sini kerana ia jelas perjawatan khas yang dibenarkan,” kata Fatimah lagi.

Sebagai menteri yang bertanggungjawab kepada pendidikan negeri, Fatimah menggesa Chieng Jen membuat “kerja rumah” dan kajian sebelum membuat tuduhan melulu, terutamanya yang berunsur perkauman.

“Untuk perjawatan perguruan misalnya, individu yang dimaksudkan seharusnya memohon kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran melalui Jobs Malaysia, kerana perguruan masih dalam bidang Kerajaan Pusat,” katanya lagi.

Hadir sama dalam sidang media khas itu Menteri Muda Pendidikan Awal Kanak-kanak, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali dan Pengarah Sumber Manusia Jabatan Ketua Menteri, William Nyigor. – Sarawakvoice