Bantuan kewangan BR1M untuk rakyat, bukan rasuah; Arab Saudi guna kaedah sama – Rohani Karim

SEBUYAU: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim semalam menafikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang disalurkan kerajaan pada waktu ini bertujuan meraih sokongan dan undian sempena Pilihan Raya Umum akan datang.

“Ia bukan ‘gula-gula’ kepada rakyat seperti yang digembar-gemburkan oleh pembangkang, jauh sekali rasuah.

“Sebaliknya, BR1M bertujuan meringankan beban rakyat miskin mengikut kriteria seperti yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan tersebut diedarkan kepada media selepas Majlis Penyampaian Baucer Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M)
di sini.

Seramai 177 warga Sebuyau yang juga penerima BR1M telah menerima baucer yang disampaikan oleh pegawai Pejabat Parlimen Batang Lupar bagi DUN N.27 Sebuyau Speri Abdul Karim manakala 811 penerima daripada DUN N.29 Beting Maro pula, disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri, Razaili Gapor.

Tuduhan tidak berasas seperti ini katanya, sengaja dilemparkan oleh pembangkang bagi mengelirukan rakyat terutama penerima BR1M berkelayakan.

“Lebih tidak bermoral lagi, ia turut mengaitkan BR1M dengan hukum halal haram”, tegas Ahli Parlimen P201 Batang Lupar itu.

Katanya, baru-baru ini beliau turut berkesempatan bertemu dan berbincang dengan Menteri Pembangunan Sosial dan Pekerja Arab Saudi, Dr Ali Nassir Al Ghafie dan berkongsi langkah dengan kerajaan Arab Saudi yang membantu rakyat miskin mereka dengan kaedah bantuan kewangan yang sama. – Sarawakvoice