Lelaki kaya RM640 sebelum dipenjara 27 bulan dan dua sebatan; bakal hadapi 43 lagi pertuduhan tipu

KUCHING: Kerana kaya sekejap dengan RM640, seorang penganggur berusia 25 tahun dipenjara 27 bulan dengan dua sebatan kerana menipu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil IPK Sarawak, Superintendan Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, hukuman dijatuhkan oleh Mahkamah Majistret Kuching semalam selepas tertuduh, Christopher Ricky mengaku bersalah atas dua tuduhan berasingan.

“Dia dituduh di di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana melakukan penipuan, dengan menjanjikan peluang pekerjaan sebagai juruteknik bagi pembinaan Lebuh Raya Pan Borneo kepada dua individu berbeza.

“Kejadian tersebut berlaku pada Januari dan Februari lalu dan setiap mangsa dikehendaki membayar RM320, kononnya sebagai yurab proses mendapatkan pekerjaan itu.

Bagi tuduhan pertama kata Mustafa, tertuduh dihukum penjara satu tahun dan satu sebatan manakala untuk kes kedua, penjara 15 bulan dan satu sebatan.

“Tertuduh yang ‘bermulut manis’ juga disiasat berhubung penipuan terhadap 43 lagi mangsa yang terdiri daripada lelaki dan wanita yang berusia 19 hingga 54 tahun.

Kejadian direkodkan berlaku di antara Mei 2016 hingga Januari lalu, dengan nilai kerugian keseluruhan bernilai lebih kurang RM21,790.00.

Tertuduh dikatakan melakukan perbuatan tersebut di sekitar Kuching, Padawan, Sibu, dan Sarikei.

“Kesemua kes tersebut akan dituduh dalam masa terdekat,” katanya lagi.

Mustafa turut menasihatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan individu yang menawarkan peluang pekerjaan, tambahan lagi jika tawaran kerja itu memerlukan mangsa membayar sejumlah wang.

“Periksa identiti dan kad pengenalan mereka yang membuat tawaran itu dan catat alamat pekerjaan yang ditawarkan sebelum membuat sebarang pembayaran.

“Kemudian berhubung dengan mana-mana balai polis yang terdekat atau Jabatan Siasatan Jenayah Komersil IPK Sarawak di talian 082274231 / 082274222 untuk sebarang pertanyaan atau maklumat mengenai kejadian penipuan,” katanya lagi. – Sarawakvoice