[Analisis] Menunggu DNA waris Jong-nam dalam dolak-dalih duta Korea Utara

Tanpa bukti cukup, Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengesahkan suspek keempat, Ri Jong-chol disiasat berhubung kes bunuh abang pemimpin Korea Utara, Kim Jong-nam diusir keluar dari Malaysia pada Jumaat bersamaan hari terakhir tempoh remannya.

Ri ditahan reman 13 hari membantu siasatan kematian Jong-nam yang dipercayai dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2) pada 13 Februari lalu semasa hendak berangkat ke Macau.

Muhammad Farid Jallaludin warga Malaysia dibebaskan dengan jaminan polis.

Sementara, dua suspek wanita Siti Aisyah, 25 warga Indonesia dan Doan Thi Huong warga Vietnam, 29, di hadap ke Mahkamah Sepang untuk disebut pendakwaan

Kedua-dua wanita terbabit ditahan reman 14 hari bermula 16 Februari bagi membantu siasatan berhubung siasatan atas dakwaan menyapu muka Jong-nam dengan tangan disembur cecair beracun.

Jabatan Kimia mengesahkan bahan tersebut sebagai Agen Saraf VX yang diharamkan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).

Jong-nam melakukan perjalanan menggunakan nama Kim Chol, meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Putrajaya selepas diracun.

Pembunuhan Jong-nam menimbulkan beberapa wajah hodoh hubungan Malaysia-Korea Utara ketika tidak banyak negara di dunia mengadakan hubungan diplomatik dengan negara komunis itu.

Jika sebelum berlaku pembunuhan, rakyat Korea berminat menjadikan Malaysia sebagai hab perjalanan dan kunjungan kerana  keistimewaan hubungan diplomatik membenarkan rakyat Korea mengunjungi Malaysia tanpa memerlukan visa masuk.

Berkuat kuasa Isnin, minggu hadapan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, semua warga Korea Utara yang ingin memasuki Malaysia dikenakan visa selepas mengambil kira faktor keselamatan negara.

Jelas, susulan pembunuhan terang-terangan warga Jong-nam yang hidup dalam buangan di Macau, China di KLIA2 rahsia aktiviti risikan Pyongyang yang terbungkus selama ini, terselak sedikit demi sedikit.

Hubungan diplomatik baik antara Malaysia-Korea Utara sebelum insiden pembunuhan tersebut ditambah kelonggaran peraturan imigresen berkaitan visa dianggap banyak pihak, diambil peluang oleh ejen risikan negara tersebut.

Penganalisis Keselamatan Serantau di IHS-Jane berpangkalan di Bangkok, Anthony Davis mendakwa operasi risikan Korea Utara, Biro Peninjauan Awam (RGB) atau platform keselamatan lain bergerak aktif di Malaysia berbanding negara Asia Tenggara lain

Mengulas berkaitan penggunaan Agen Saraf VX dalam pembunuhan Jong-nam, Davis berkata ia hampir pasti menunjukkan bahawa operasi itu bukan sembarangan.

“Kumpulan penyangak tidak mendapat akses kepada senjata jenis ini,” kata Davis.

Sebahagian analisis melihat pemilihan dua wanita warganegara bukan Malaysia bagi melaksanakan misi itu dan bukannya perisik terlatih.

Ia didakwa dilakukan sebagai menarik perhatian “untuk bermain-main dengan lelaki lebih tua” berbanding dilakukan ejen lelaki terlatih.

Analisis mengatakan, terbukti apabila suspek ditangkap, ia dapat mengelak pelaku sebenar mudah terlepas.

Dakwaan agak baharu dari Badan perisikan jiran paling berseteru Korea Utara iaitu Korea Selatan mendakwa pegawai kementerian Korea Utara terlibat dalam pembunuhan Jong-nam.

Anggota Parlimen Korea Selatan dan NIS mendakwa empat suspek yang disiasat polis Malaysia berhubung kematian Jong-nam berasal dari Kementerian Keselamatan Negara atau ejen Perisikan Korea Utara atau Reconnaissance General Bureau (RGB).

Dalam menyelesaikan kes ini, Malaysia memburu tujuh suspek.

Empat daripadanya, Ri Ji-hyon, Hong Song-hac, O Jong-gil, dan Ri Jae-nam diyakini sudah kabur ke Pyongyang dari Kuala Lumpur pada waktu bersamaan dengan terbunuhnya Kim Jong-nam.

Sementara Ri Jil-u dan dua lelaki lain beperanan mengawasi aksi Aisyah dan Doan meracuni Jong-nam.

Lelaki yang bekerja di kedutaan Korea Utara dikehendaki kerana dilihat turut menghantar empat suspek pulang melalui KLIA.

Hubungan diplomatik Malaysia-Korea Utara menjadi rumit apabila secara logik seharusnya Duta Korea Utara, Kang Chol memberi kerjasama menyelesaikan masalah warganegaranya, namun beliau tidak berbuat demikian.

Kang Chol bukan sahaja tidak memberi kerjasama, bahkan dilihat “seperti ada sesuatu dalam menangani kes tersebut.

Malah, dari satu padangan, beliau dilihat menyukarkan siasatan apabila sanggup membidas pihak berkuasa Malaysia dalam penyiasatan kematian Jong Nam.

Sikap tergesa-gesa mengutuk penahanan warga Korea Utara termasuk dua suspek tersangka meracun Jong-nam di KLIA2 dilihat tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang duta yang biasanya bekerjasama memudahkan pengesanan penjenayah melibatkan nyawa warganya sendiri.

Ketika polis mahu bercakap dan menyiasat diplomat serta seorang pekerja sektor penerbangan Korea Utara yang dikatakan mungkin bersembunyi di kedutaan Korea Utara itu, Kang Chol memberi banyak alasan.

Kang Chol sebaliknya begitu tergesa-gesa dan sangat berminat meminta jasad Jong-nam daripada ditahan dan dibedah siasat pihak berkuasa.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar  bertegas bahawa mengikut undang-undang Malaysia, jasad mangsa jenayah bunuh tidak akan dikembalikan kepada sesiapa kecuali diberikan bukti DNA dan dituntut oleh waris sedarah sedaging.

Bekas duta besar Malaysia ke China, Datuk Dennis Ignatius memberi signifikan kepada tindakan Kang Chol bahawa beliau tidak mahu menjadi seperti bekas duta Korea Utara ke Malaysia, Jang Yong Chol yang dihukum tembak mati oleh regim Korea Utara.

Datuk Seri Nazri Aziz turut memahami sebab kemarahan Duta Korea Utara dalam kes pembunuhan Kim Jong Nam.

“Dia perlu tunjukkan kemarahan yang berlebih-lebihan. Kalau tak, dia akan dibunuh. Ini semua orang tahu.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam lebih berlembut menangani mayat Jong-nam.

Menurut Subramaniam, walaupun tidak ada tempoh yang ditetapkan tempoh masa mayat harus dituntut, kerajaan masih berharap saudara-mara Jong-nam tampil dan memberi sampel DNA untuk melengkapkan prosedur forensik.

Bagi kes Jong-nam yang melibatkan warga asing, menurut Subramaniam, penyelesaian mayat yang tidak dituntut memerlukan pandangan pihak berkaitan.

Bagi beliau, kes ini luar biasa dan kerajaan akan membuat keputusan selepas mayatnya tidak dituntut untuk tempoh yang lama dengan mengambil kira sistem antarabangsa dan hubungan dua hala dengan antara kerajaan.

Malaysia kini diuji kes kematian melibatkan mangsa berprofil tinggi. – Sarawakvoice