M’sia sasar kehadiran 31 juta pelancong bawa masuk RM114 bilion

KUALA LUMPUR: Sekitar 31 juta pelancong mengunjungi Malaysia tahun ini berbanding hampir 27 juta (26,757,392) tahun lepas.

Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan menyasarkan hasil pendapatan sektor pelancongan mendatangkan RM114 bilion berbanding RM82.1 bilion tahun lepas.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata Malaysia menerima pertambahan pelancong dari Singapura, Arab Saudi, China, Brunei, Thailand dan Indonesia.

Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Jualan Nasional Malaysia di Suria KLCC pada Rabu, Nazri berkata kadar tukaran mata wang Malaysia yang menguntungkan pelancong, menggalakkan berbelanja di Malaysia.

Menurut Bernama, kempen tahunan anjuran Tourism Malaysia merupakan antara usaha berterusan kerajaan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi utama membeli-belah bertaraf dunia.

Kempen berlangsung di seluruh negara ini diadakan tiga kali setahun merangkumi Jualan Super 1Malaysia (1-31 Mac), Karnival Jualan Mega 1Malaysia (15 Jun-31 Ogos) dan Jualan Akhir Tahun 1Malaysia (1 Nov-31 Dis). – Sarawakvoice