Kanak-kanak seawal 7 tahun menagih dadah – Ahmad Zahid

BANGI: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini mendedahkan terdapat usaha pengedar barangan mengandungi dadah sintetik mewujudkan permintaan dalam bentuk makanan sehingga menyebabkan kanak-kanak seawal tujuh tahun menagih bahan terlarang itu.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) mengesan bahan narkotik itu diadun dalam makanan seperti gula-gula dan roti.

“Apabila sistem saraf, pemikiran dan aliran darah dikuasai dadah sistetik (ia) akan memberi kesan kepada kehidupan sosial mereka yang terbabit, sekali gus memburukkan lagi sahsiah masyarakat,” katanya ketika merasmikan Multaqa

Pendidikan dan Sosial, Majlis Perundingan Islam (MPI) di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) di sini.

Bercakap dalam sidang media kemudian, Ahmad Zahid berkata kerajaan memandang serius kes keruntuhan akhlak serta masalah sosial di kalangan generasi muda dan komited dalam merangka rancangan bagi menanganinya.

Beliau berkata penyalahgunaan dadah dan pembabitan dalam gejala sosial merupakan antara contoh keruntuhan akhlak yang disifatkan perlu diberi ‘kepedulian mendalam’ oleh semua pihak.

 

“Kita tiada kajian empirikal mengenai sejauh mana seriusnya keadaan ini tetapi bilangan 343,000 anak tidak sah taraf termasuk anak kepada pasangan suami isteri yang tidak mendaftarkan pernikahan kedua yang direkodkan tahun lepas memerlukan hal ini diberi perhatian.

“Mengambil kira kebejatan gejala sosial yang berlaku ketika ini, saya kira kerosakan akhlak ini perlu diberi penekanan oleh semua pihak untuk menanganinya,” katanya.

Ahmad Zahid juga berkata sistem pendidikan sedia ada, khususnya berkaitan akhlak perlu diberi nafas baharu dengan menyuntik elemen kerohanian dan mengurangkan silibus yang berorientasikan peperiksaan.  Bernama