SEOUL: Malaysia secara rasmi tidak pernah menuduh Korea Utara mendalangi pembunuhan Kim Jong-nam di Lapangan Terbang Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada 13 Februari lepas.

Namun, pihak berkuasa Malaysia masih berusaha memburu beberapa suspek termasuk seorang diplomat Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur.

Menurut pihak berkuasa Malaysia, empat lelaki Korea Utara menyediakan racun kimia kepada dua wanita, Siti Aisyah, 25, warga Indonesia dan Doan Thi Huong, 29, warga Vietnam.

Mereka dituduh terlibat dalam pembunuhan abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un yang dalam perjalanan pulang menunggu pesawat ke Macau, China di KLIA2.

Empat lelaki berkenaan melarikan diri pada hari yang sama pembunuhan Jong-nam.

Bagaimanapun, Anggota Parlimen yang memetik kenyataan Agensi Perisikan Kebangsaan (NIS) seperti dimaklumkan dalam pertemuan secara tertutup kedua-dua pihak berkata, empat suspek yang disiasat polis Malaysia berhubung kematian Jong-nam berasal dari Kementerian Keselamatan Negara atau ejen Perisikan Korea Utara atau Reconnaissance General Bureau (RGB).

Bagaimanapun, adakah empat suspek yang dimaksudkan oleh NIS dan Anggota Parlimen Korea Selatan itu juga ada kaitan dengan empat suspek yang diburu oleh polis Malaysia?

Adakah mereka orang yang sama? Isu ini masih samar-samar.

Memetik laporan mstar.com pada Selasa, menurut anggota Parlimen, Lee Cheol-woo yang menghadiri pertemuan itu, seperti dimaklumkan NIS, dua lagi suspek bersekongkol dengan Kementerian Luar Korea Utara.

Seorang lagi anggota Parlimen, Kim Byeong-ki berkata, terdapat pemimpin Korea Utara mengarahkan ‘jenayah terancang’ dalam pembunuhan Jong-nam.

Bagaimanapun, kedua-dua ahli politik itu tidak menjelaskan bagaimana NIS memperoleh maklumat tersebut dan peranan suspek kes pembunuhan Jong-nam. – Sarawakvoice