Wednesday, December 7, 2022

Rakan tidak percaya Aisyah bunuh demi wang, dia mungkin diperangkap!

Secara Rawak

KUALA LUMPUR: Berhubung dakwaan suspek warga Indonesia, Siti Aisyah diperdaya terlibat dalam kes pembunuhan Kim Jong-nam, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengulas, “mereka boleh kata apa sahaja, tetapi siasatan kami menunjukkan sebaliknya.”

Malaysiakini melaporkan kenyataan Khalid pada Isnin, “alasan kami masih menahannya dan suspek lain bukan kerana berdasarkan pada andaian.

“Kami menahan mereka berdasarkan apa yang dijumpai melalui siasatan yang menyeluruh,” ujar Khalid mengulas laporan akhbar China Press Daily yang melaporkan kenyataan rakan membela Aisyah, 25.

Khalid berkata, Aisyah menjalani latihan sebelum serangan 13 Februari lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA 2).

Aisyah dan seorang lagi warga Vietnam, Doan Thi Huong, 29 yang didakwa tidak dikenali Aisyah antara yang ditahan berkaitan kes pembunuhan Jong-nam menggunakan unsur senjata kimia, Agen Saraf VX.

China Press Daily yang turut dipetik media tempatan lain pada Isnin mendakwa sehari sebelum pembunuhan, Siti Aisyah keluar bersuka ria bersama rakannya.

Rakan Aisyah mengadakan majlis hari jadi untuknya di kelab malam terkenal di Kuala Lumpur sehari sebelum Aisyah dijadualkan mengambil bahagian dalam “rancangan realiti (program prank?)”.

Kemuncak laporan itu menyebut rakannya itu dilaporkan terkejut apabila mendapat tahu Aisyah ditahan dan disiasat sebagai salah seorang suspek berkaitan pembunuhan abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un itu.

Rakan Aisyah yang dirahsiakan namanya dilaporkan akhbar berkenaan berkata, “Saya tak percaya Siti Aisyah akan membunuh seseorang hanya untuk wang.

“Ia mustahil. Saya rasa dia telah diperangkap,” kata rakannya mendakwa Aisyah tidak mempunyai motif melakukan pembunuhan itu.

Video yang dimuat naik oleh China Press Daily di Youtube pada Sabtu, menunjukkan seorang wanita, dipercayai Aisyah bercakap tentang rakan lama bernama Kak Lin yang duduk di sebelahnya dengan imejnya dikaburkan.

Ketika itu berlangsung majlis sambutan hari jadinya, dipercayai sehari sebelum Jong-nam dibunuh.

Aisyah memakai blaus merah memberitahu dia sudah lima bulan tidak bertemu Kak Lin yang dikenalinya enam tahun lalu.

“Dari Kak Lin tak kahwin lagi, sampai sekarang Kak Lin dah mengandung,” katanya.

Dalam video berdurasi satu minit empat saat itu, mereka mesra dan saling ketawa.

Sebelum rakaman video tamat, Kak Lin menyatakan “orang di sebelahnya” itu sudah menjadi artis.

Siti Aisyah ketawa bertanya: Artis apa?

Kak Lin menjawab “Uqasha Senrose”, Siti Aisyah tergelak besar dan rakaman video ditamatkan.

Sebelum itu, BBC melaporkan buat pertama kalinya pegawai Indonesia di Kuala Lumpur dapat menemui Aisyah di penjara Selangor.

Wakil Duta Besar Indonesia (KBRI) di Malaysia, Adreano Erwin turut membawa pasukan peguam untuk membela Siti Aisyah secara undang-undang.

Dalam pertemuan itu menurut Adreano, Aisyah mengaku dia hanya menyangka diupah melakukan “frank” atau adegan lelucon untuk rancangan realiti televisyen.

Dia mendakwa tidak mengetahui wujud racun pada kain yang digunakannya.

Sementara, menurut Okezone, KBRI di Malaysia mendakwa Siti Aisyah menyangka cairan pada kain yang dibekap pada muka Jong nam hanyalah baby oil atau minyak bayi.

The Star, Sabtu pula melaporkan Andreao Erwin pada sidang media bahawa Aisyah mendakwa kedua-dua lelaki yang membayarnya itu berwajah mirip orang Korea atau Jepun yang dikenali sebagai James dan Chan.

Pada pertemuan itu, Siti konsisten mengatakan dia dibayar RM400 melakukan prank untuk program realiti. – Sarawakvoice

Ikuti Facebook Kami

Artikel Terbaru